Norlida Abu Hassan menunjukkan bantal busuk kepunyaan anak angkatnya yang mati didera dipercayai oleh ibu kandung dan bapa tirinya. FOTO AMIR MAMAT
Norlida Abu Hassan menunjukkan bantal busuk kepunyaan anak angkatnya yang mati didera dipercayai oleh ibu kandung dan bapa tirinya. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Bantal busuk milik arwah anak angkatnya menjadi pengganti untuk Norlida Abu Hassan melepaskan rindu.

Wanita berusia 48 tahun itu berkata, dia menyimpan bantal arwah yang dipanggil adik ketika mengambilnya untuk dibawa ke Makkah sewaktu menunaikan umrah pada 2019.

"Adik kata kepada saya 'umi bawalah bantal dia' dan apabila di Makkah ketika saya rindukan dia, saya akan peluk dan cium bantal itu sebelum tidur.

"Kini bantal itulah yang menjadi peneman saya. Setiap kali rindukan dia, saya akan dakap bantalnya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.

Norlida berkata, dia membelikan bantal itu ketika mula-mula menjaga arwah pada usianya dua bulan dan menjadi bantal busuk kesayangan.

Sementara itu, suami Norlida, Md Tarmidi Yaaccob, 52, berkata, keluarganya masih berbincang dengan keluarga arwah untuk membawa jenazah bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Katanya, dia ada berjumpa ibu kandung arwah serta keluarganya yang lain untuk membincangkan hal itu namun belum ada keputusan.

"Kami merayu kepada mereka supaya benarkan jenazah dikebumikan di Rawang. Pada dasarnya mereka tidak bersetuju, namun kami tidak putus harapan untuk terus merayu selain meminta kerjasama polis.

"Walaupun keluarga kandung mempunyai hak tetapi atas rasa simpati dan prihatin kepada kami yang menjaganya sejak kecil, izinkanlah kami mengebumikan jenazah di tempat kami," katanya.

Kira-kira 4 petang kelmarin, anak angkat Norlida berusia tujuh tahun ditemui meninggal dunia dipercayai didera di kediaman keluarga kandung di Taman Krubong Jaya, di sini.

Berita berkaitan:

  • Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri - Polis
  • 'Mangsa sering bersendirian, termenung' - Jiran
  • Suami isteri disyaki dera anak sampai mati direman
  • 'Tidak kasihan ke individu itu kepadanya?'
  • Budak maut didera ibu, bapa tiri
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 2:40 PM