GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 4,008 kes positif Covid-19 dan 11 kematian direkodkan di seluruh negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 kepada 169,379 kes dengan 41,087 kes aktif serta 630 kematian.

Menurut beliau, 4,003 kes adalah kes penularan tempatan manakala lima kes import.

"Selangor masih merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,391 kes (34.7 peratus). Daripada jumlah itu, 1,061 kes (76.3 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 513 kes dan Johor dengan 470 kes.

"Sebanyak 113 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara," katanya pada kenyataan hari ini.

Ia membabitkan 48 kes bagi Kluster Penjara Jalan Harapan, Kluster Tembok Nanas (45 kes), Kluster Tembok Mempaga (enam kes), Kluster Telok Mas (lima kes), Kluster Tembok Kemus (lima kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga kes) dan satu kes bagi Kluster Damai Pelangi.

Dr Noor Hisham berkata, 2,374 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah pulih kepada 127,662 kes.

Selain itu, 246 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 96 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes kematian pada hari ini membabitkan empat kes dari Selangor, masing-masing tiga kes dari Sabah dan Johor serta satu kes dari Sarawak dengan sembilan warganegara manakala dua bukan warganegara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 7:40 PM