SARAH mengenakan gaun Rowena selama 100 hari. FOTO thisdressagain/Instagram
SARAH mengenakan gaun Rowena selama 100 hari. FOTO thisdressagain/Instagram
Agensi

Boston: Seorang wanita di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) mampu menahan dirinya daripada membeli pakaian baru tahun ini dan hanya mengenakan pakaian sama selama 100 hari.

Sarah Robbins-Cole, 52, selesa menjalani rutin hariannya termasuk meraikan Krismas dengan hanya mengenakan gaun pendek Rowena berwarna hitam dan berlengan panjang yang diperbuat daripada bulu biri-biri Merino.

Sarah berkata, dia menyertai Cabaran Pakaian 100 Hari sejak 16 September tahun lalu yang turut disertai 250 wanita lain dengan mengenakan pakaian jenama Wool&.

"Saya mengetahui cabaran itu menerusi media sosial dan berfikir kenapa tidak (mencubanya)?

"Apa yang mengejutkan saya walaupun memakai pakaian sama selama 100 hari, ia tidak mengubah hidup saya pun.

"Malah, ia memotivasikan saya untuk pergi lebih jauh dan saya tidak akan membeli sebarang pakaian atau aksesori baru antara 1 Januari tahun ini hingga 1 Januari 2022," katanya seperti dilaporkan portal Daily Mirror.

Katanya, antara perkara paling sukar dalam cabaran itu adalah cara untuk membuat penampilan baru setiap hari di media sosial.

"Dengan menyertai cabaran ini, saya mendapat gambaran tentang tekanan luar biasa daripada media sosial.

"Saya juga menerima komen berbaur kurang sopan dan tidak sesuai, namun saya berjaya tanganinya dengan menyekat akaun mereka," katanya.

Cabaran itu mengajar peserta tentang tabiat berjimat cermat dan kurang mencuci dengan hanya memakai pakaian sama setiap hari.

Peserta di benarkan mencuci dan mengeringkan pakaian itu, namun jika mereka terjaga daripada tidur, mereka boleh terus memakainya.

Peserta yang berjaya menamatkan cabaran itu akan memenangi baucar bernilai AS$100 (kira-kira RM403) untuk perbelanjaan pakaian baru jenama Wool&.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:30 AM