HANNA Aqeela belum begitu dikenali walau sudah tujuh tahun berlakon kerana banyak bawa watak pembantu.
HANNA Aqeela belum begitu dikenali walau sudah tujuh tahun berlakon kerana banyak bawa watak pembantu.
Ridzuan Abdul Rahman


BERTUBUH tinggi lampai selain mempunyai raut wajah cantik dan seksi adalah bonus buat pelakon Hanna Aqeela, 30, mencipta populariti dalam industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, situasi sebaliknya pula terjadi apabila dia yang sudah tujuh tahun berlakon belum dikenali sepenuhnya oleh peminat.

Hanna atau nama sebenarnya Hanna Aqeela Mohd Rosni mengakui kebenaran kenyataan ini dan mempunyai alasan tersendiri.

"Memang saya selalu ditanya soalan ini. Pertamanya saya belum betul-betul terbabit dalam slot drama yang boleh menaikkan nama saya seperti pelakon utama untuk slot Akasia, Megadrama dan lain-lain lagi.

"Sebelum ini saya pernah dapat tawaran untuk berlakon drama slot ini, malangnya jadual selalu bertembung. Lama-kelamaan, tawaran sebegini semakin tiada untuk slot besar dan saya banyak berlakon sebagai watak pembantu dan watak jahat. Faktor lainnya, mungkin saya terlalu bersih tiada kontroversi sejak awal berlakon sampai sekarang, ia jadi punca nama saya kurang menyerlah," katanya.

KERJAYA  Hanna awalnya bermula sebagai model untuk iklan komersial.
KERJAYA Hanna awalnya bermula sebagai model untuk iklan komersial.

Hanna yang juga graduan Sains Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awalnya bermula sebagai model untuk iklan komersial.

Dia memulakan kerjaya lakonan menerusi telefilem Aku Bukan Buaya arahan Amie Maziah Abdul Rahman. Bermula dari situ, Hanna terus ditawarkan berlakon drama lain antaranya Bila Hati Berbicara, Patah Sayap Bertongkat Paruh dan 30 Pesanan Suara.

"Orang mula kenal saya menerusi drama Mr Tanda Soal. Rezeki saya semakin murah termasuk ditawarkan berlakon filem Dubai My Love arahan Aidilfitri Mohd Yunos bergandingan dengan Erwin Dawson.

Populariti saya selalunya dilihat berdasarkan pada slot drama. Kalau misalnya muncul dalam slot Akasia atau Samarinda orang akan kenal saya. Kalau dari slot lain, mungkin agak kurang. Selalunya orang akan ingat saya apabila saya berlakon watak jahat," katanya.

TIADA kontroversi  hingga kini mungkin punca Hanna kurang dikenali.
TIADA kontroversi hingga kini mungkin punca Hanna kurang dikenali.

Menurutnya, dua tahun lalu namanya juga dikenali kerana dia antara pelakon wanita yang aktif bermain bola sepak dan futsal.

Terbaharu kemunculannya dalam siri drama Bougainvillea yang disiarkan menerusi slot Samarinda sejak 28 Disember lalu ternyata menarik perhatian penonton.

"Alhamdulillah, saya ditawarkan berlakon watak Hazira dan ia satu pengalaman baharu kerana sebelum ini saya tak pernah berlakon dengan Beto Kushairy dan Nora Danish sebelum ini.

"Ia juga kerjasama pertama dengan produksi Sha's Media Sdn Bhd dan saya amat teruja. Sebelum ini saya pernah ditawarkan berlakon dengan Beto tapi saat akhir wataknya ditukar dengan pelakon lain. Saya bersyukur kerana siri ini antara platform untuk saya dikenali oleh ramai peminat kerana saya berlakon dengan nama-nama popular," katanya.

AKIBAT pertembungan jadual, Hanna sering terlepas tawaran besar.
AKIBAT pertembungan jadual, Hanna sering terlepas tawaran besar.

Hanna berkata, dia mulanya gementar untuk berlakon dengan mereka terutamanya Beto yang dilihat mempunyai karakter tersendiri.

"Lakonannya memang gempak dan ada kualiti tersendiri. Saya takut lakonan saya akan dinilai atau tunjukkan lakonan di bawah tahap sebenar. Namun, apabila mulakan penggambaran dengan mereka, saya dapat respons yang positif daripada mereka dan buat saya lega. Walaupun mereka popular dan hebat, tapi mereka amat baik hati dan 'friendly'. Saya kini kekal berkawan rapat dengan Nora dan Intan Ladyana serta sering keluar bersama sekarang," katanya.

Ditanya berkenaan pasangan hidup, Hanna tidak merahsiakan bahawa hatinya sudah dimiliki. Difahamkan kekasihnya bekerja sebagai akauntan dan kini bertugas di Labuan, Sabah.

"Kami dah lama berkawan dan amat serasi bersama. Perancangan untuk ke fasa seterusnya memang ada tapi belum spesifik tarikh sebenarnya," katanya.

Hanna sebelum ini mempunyai perniagaan produk kecantikan sendiri yang dinamakan Qeel Cosmetics, namun terpaksa berhenti sementara kerana sukar membahagikan masa dengan karier lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:20 AM