GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Jakarta: Akibat dihimpit masalah kewangan, seorang ibu di Sumatera Utara, tergamak membunuh tiga orang anaknya serentak dengan sebilah parang.

Kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika abang, bapa dan datuk mereka keluar mengundi pada pilihan raya tempatan di Nias Utara.

The Straits Times melaporkan sebaik pulang ke rumah, datuk mangsa mendapati tiga cucunya itu maut dengan kesan kelar di leher.

Jurucakap polis Nias, Yansen Hulu berkata, ketiga-tiga mangsa yang berusia lima, empat dan dua tahun itu tinggal bersama ibu mereka yang berusia 30 tahun.

"Ibu itu membunuh ketiga-tiga mangsa sekali gus, sebelum berbaring di sebelah mangsa dengan memegang sebilah parang.

"Selepas menemui mayat ketiga-tiga adiknya, kakak mangsa menghubungi ayahnya yang kemudian bergegas pulang ke rumah," katanya.

Yansen berkata, susulan kejadian, polis menangkap ibu berkenaan dan merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu.

Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Daerah Gunungsitoli untuk bedah siasat.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa suspek membunuh anak-anaknya kerana tertekan dengan masalah kewangan," kata Yansen.

Sementara itu, seorang pakar psikologi dari sebuah universiti di Medan, Irna Minauli, berkata, polis wajar melakukan pemeriksaan psikologi terhadap suspek.

"Selalunya, orang yang mengalami kemurungan selepas bersalin akan menderita skizofrenia dan mereka akan mengalami halusinasi dan khayalan.

"Mereka akan mula mendengar bisikan yang memberitahu mereka untuk mengakhiri kehidupan mereka sendiri atau orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:30 AM