BERSYUKUR ada sahaja tawaran berlakon.
BERSYUKUR ada sahaja tawaran berlakon.
Ridzuan Abdul Rahman

NAMANYA menyerlah menerusi pelbagai drama seperti Pembancuh Kopi Mr Vampire, Cinta Fatamorgana, Izinkan Aku Menebus Dosa dan Syurga Di Hujung Jalan.

Kini Nazeera Sardi, 33, membuka dimensi baharu dalam kariernya apabila berlakon di bawah arahan pengarah prolifik, Mamat Khalid menerusi drama bersiri Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Pembabitan Nazeera atau nama sebenarnya Siti Nazirah Sardi dalam drama itu bermula dari episod 5 hingga episod 12. Ia mula menemui penonton di saluran Astro Citra sejak kelmarin.

"Sukar nak membayangkan bagaimana kegembiraan saya. Kampong Pisang Bersiri-Siri semuanya mempunyai 12 episod. Saya mula menjalani penggambaran pada September lalu dan terbabit sehingga episod akhir.

"Saya diberikan watak Cik Cun, penduduk yang baharu berpindah ke Kampong Pisang. Walaupun saya heroin, abang Mamat memberikan peranan yang seimbang kepada semua pelakonnya.

JADI heroin dalam drama arahan Mamat.
JADI heroin dalam drama arahan Mamat.

"Cik Cun seorang budak kampung yang berwawasan tinggi. Dia bersama ibunya suka berniaga dan buat kelainan sehingga disukai ramai penduduk kampung," katanya.

Nazeera yang mengakui sudah lama teringin berlakon di bawah arahan Mamat gembira apabila impiannya menjadi realiti.

"Ketika mula-mula ditawarkan, saya ambil masa untuk fikir terlebih dahulu kerana penggambaran di Kuala Kangsar, Perak. Namun, saya buat keputusan terima juga kerana ini peluang terbaik yang bukan selalu diperoleh. Ramai yang teringin, tapi tak dapat.

"Ternyata abang Mamat seorang yang kreatif dan lain dari lain. Kita kena sentiasa bersiap sedia kerana dia akan ubah skrip pada bila-bila masa. Ada sahaja benda baharu yang dia suruh," katanya.

Nazeera mengakui bukan tidak pernah bekerja dalam situasi begini dengan pengarah lain, namun pendekatan Mamat sangat berbeza.

BERGANDINGAN dengan Awie.
BERGANDINGAN dengan Awie.

"Benda yang kita tak terfikir mulanya, tapi apabila tengok hasilnya amat menarik. Keseronokan juga terasa apabila dapat bekerja dengan semua kru dan pelakon yang bagus.

"Aura yang diperlihatkan menerusi drama ini sangat seronok. Saya juga gembira apabila buat pertama kali bergandingan dengan Datuk Awie sebagai pasangan saya dalam drama ini.

"Setiap episod menampilkan hantu yang berbeza. Ia umpama 12 filem yang dikumpulkan dalam satu cerita. Itu kelainannya siri ini," katanya.

Nazeera yang baharu tampil dengan drama Utusan Cinta Buat Adam di TV3 percaya drama ini akan membantu mengembangkan lagi popularitinya.

"Saya percaya peminat drama arahan abang Mamat lain sikit. Diakui ada segelintir yang seperti baharu perasan kewujudan saya dalam industri apabila saya terbabit dalam promosi siri ini.

"Padahal saya bukan hilang dari radar kerana setiap masa ada sahaja drama lakonan saya ditayangkan di televisyen. Untuk tahun ini sahaja, saya berlakon 10 drama," katanya.

NAZEERA bersama barisan pelakon Kampong Pisang Bersiri-Siri.
NAZEERA bersama barisan pelakon Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Nazeera juga bersyukur kerana selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada sahaja tawaran berlakon yang datang.

"Cuma mungkin orang tak nampak sangat kerana cerita saya jarang terpampang di media. Saya sebenarnya rajin kemas kini hal aktiviti seni di Instagram.

"Ketika PKP saya fokus buat 'live' untuk promosi produk jualan. Bukan nak kata saya tak terasa kesan terhadap tawaran berlakon, tapi sekurang-kurangnya dapat saya fokus pada perniagaan. Sebelum ini saya ada produk penjagaan kulit jenama Zeyra, tapi sekarang saya luaskan pula dengan kosmetik milik saya sendiri," katanya yang akan terbabit dengan penggambaran telefilem Kampong Pisang Raya minggu depan.

Bercerita soal jodoh, pelakon berasal dari Negeri Sembilan ini positif akan dipertemukan dengan lelaki terbaik suatu hari nanti.

"Saya serahkan segalanya kepada takdir. Kalau nak dikatakan bersedia, pada usia ini memang saya dah bersedia. Namun apakan daya jodoh belum sampai.

"Buat sementara ini keluarga nombor satu selagi saya belum kahwin. Pada saya sebab kenapa jodoh saya lambat adalah kerana Allah nak bagi yang terbaik," katanya.

Selain berlakon Nazeera pernah tampil dengan single berjudul Tetap Ada Cinta ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:00 AM