NYANYI lagu ciptaan bapa, Chombi akui bangga. FOTO: Rohanis Shukri
NYANYI lagu ciptaan bapa, Chombi akui bangga. FOTO: Rohanis Shukri
Norhayati Nordin

ISTILAH mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi cukup sinonim dengan industri seni. Apatah lagi, anak-anak yang mewarisi bakat seni daripada ibu atau bapa mereka.

Tidak terkecuali, pemuzik dan komposer Harry Khalifah yang kini sudah mengetengahkan bakat nyanyian dua daripada tujuh anaknya.

Pada tahun lalu, Harry atau mesra dengan panggilan Apak memperkenalkan anak lelakinya dikenali Mizan sebagai penyanyi menerusi lagu Keluhan Hati yang video muzik di YouTube sudah mencecah 7.9 juta tontonan.

Kini dikala krisis pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kesinambungan legasi Harry diteruskan dengan mengetengahkan pula bakat nyanyian anak gadisnya, Chombi atau nama sebenar Siti Maryam Ahmad Sairi.

Berusia 13 tahun, Chombi muncul dengan lagu solo berjudul Rindu Rindu yang video muziknya dilancar pada 28 September lalu. Dalam tempoh dua bulan, video muzik lagu Chombi itu sudah mencatat 1.4 juta tontonan.

Mengulas kejayaan lagu solonya, Chombi berkata, dia tak sangka pun penampilan pertama sebagai penyanyi rakaman berjaya mendapat tempat di hati peminat serta sokongan ramai.

CHOMBI syukur lagu Rindu Rindu diterima baik.  FOTO: Rohanis Shukri
CHOMBI syukur lagu Rindu Rindu diterima baik. FOTO: Rohanis Shukri

"Saya hanya cuba-cuba sahaja menyanyi kerana ayah bagi galakan dan minta nyanyikan lagu Rindu Rindu itu. Tak sangka pula, ramai yang suka hingga lagu Rindu Rindu jadi popular terutama di negeri Pantai Timur.

"Terima kasih kepada semua pendengar dan peminat muzik tempatan yang menyokong lagu saya. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana sebagai penyanyi baharu, masih banyak pengalaman perlu ditimba. Begitu juga, ada kelemahan harus diperbaiki," katanya.

Menurut Chombi, minatnya pada nyanyian memang sudah dikatahui ibu bapa sejak kanak-kanak ketika berumur tujuh tahun. Bagaimanapun, ia tidaklah sampai mendorongnya menyertai pertandingan menyanyi secara serius.

"Genre muzik yang saya sangat suka adalah dangdut. Semoga jika ada rezeki nanti, saya harap dapat peluang merakamkan lagu dangdut untuk single kedua. Apapun, saya akan bincang dengan ayah dahulu.

"Ini kerana, saya sebenarnya ada perasaan bimbang nak menyanyi. Ingat lagi, ketika mula-mula masuk studio untuk rakam lagu Rindu Rindu saya sangat gementar dan takut. Tapi, mujur ada ayah dan ibu yang bersama-sama beri sokongan.

"Ayah memang tak paksa, tapi dia suka suruh saya cuba dahulu. Namun, dengan galakan dan keyakinan daripada ayah sangat membantu menyuntik semangat saya untuk mencuba dengan sepenuh hati," katanya.

Mengulas juga soal kerjasama dengan abangnya Mizan, kata anak tunggal perempuan dalam keluarga itu dia sentiasa bersedia. Ujarnya jika ada lagu duet yang sesuai untuk vokal mereka, dia pasti takkan menolak rezeki dan peluang.

"Saya pun tak pernah rasa nak bersaing dengan abang. Bagi saya, di antara kami sudah tentu ada kelebihan vokal tersendiri. Malah, dari segi vokal kami semestinya ayah lebih tahu.

"Lagi pun, lagu-lagu yang saya dan abang Mizan nyanyikan adalah hasil ciptaan ayah. Jadi, saya yakin dengan semua karya seni lagu ayah dan amat bangga dapat menyanyi serta merakamkannya sebagai single kami," katanya.

Menurut Chombi, dia selesa berpandangan positif sebagai anak seni kerana perjalanan yang masih jauh. Katanya dia tidak perlu terburu-buru tanpa membuat sebarang perancangan untuk memantapkan kerjaya nyanyiannya.

Buat hal sendiri

Mencipta nama dalam kerjaya seni ketika di alam persekolahan, diakui Chombi ada cabaran tersendiri. Terutama, bila mana tidak semua rakan akan menyenanginya.

Pun begitu, katanya dia selesa buat hal sendiri dan tidak pernah mahu mempedulikan apa yang orang lain bercakap mengenai dirinya.

"Saya tak pernah kisah pun apa orang nak cakap. Nak kawan atau tidak pun, biarlah. Ini kerana, ibu selalu pesan supaya saya jangan balas apa-apa pun.

"Biarlah orang nak cakap apa tentang diri kita. Asalkan, paling penting kita tidak mengganggu hidup mereka.Orang suka atau tidak, tak payah peduli," katanya.

Mengulas juga mengenai karakter dirinya yang nampak lebih matang daripada usia, Chombi tidak menafikan dan mengakui dia sering dianggap sudah habis sekolah atau belajar di universiti.

Katanya, ketika di sekolah pun ada guru yang akan bergurau dengan meminta dia pergi ke kelas lain. Biasanya, cikgu akan kata Chombi tersalah kelas dan kemudian senyum atau ketawa.

"Sejujurnya, saya sedikit pun memang tak pernah terasa hati dengan gurauan daripada guru. Bagi saya, ia sekadar jenaka biasa dan tidak melampaui batas,' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:00 AM