Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Gambar di lokasi kemalangan di media sosial menjadi petunjuk kepada keluarga untuk mengenal pasti mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati, Ampang, hari ini.

Dr Mohd Izani Mohamed Rawi, 48, abang sulung kepada arwah Mohd Irfan Fikri, 44, berkata, keluarga mengenal pasti tangan dan jam dipakai adiknya melalui gambar tular di WhatsApp.

"Saya cam tangan dan jam dipakai arwah tengah hari tadi malah helikopter biru yang kerap diterbangkan.

"Dua tiga hari sebelum terbang, arwah ada memberitahu keluarga di WhatsApp mengenai penerbangan hari ini disebabkan itu saya yakin mangsa terkorban mungkin adik saya," katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPPN) di sini, hari ini.

MOHD Izani (kiri) bersama adik-beradik lain ketika menanti jenazah adiknya, Mohd Irfan di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
MOHD Izani (kiri) bersama adik-beradik lain ketika menanti jenazah adiknya, Mohd Irfan di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Mohd Izani berkata, arwah dilaporkan kerap terbang menjangkau seminggu sekali.

"Penerbangan ini sebagai hobi arwah saja, pekerjaan tetapnya sebagai ahli perniagaan.

"Arwah ada menunjukkan lesen penerbangannya sebelum ini, namun saya tidak pasti sudah berapa lama (penerbangan)," katanya yang berasal dari Kelantan.

Katanya, helikopter biru yang diterbangkan arwah antara yang kerap dan menjadi kegemarannya.

HELIKOPTER yang terhempas di kawasan Taman Melawati, Ampang. FOTO Fathil Asri
HELIKOPTER yang terhempas di kawasan Taman Melawati, Ampang. FOTO Fathil Asri

Mohd Izani berkata, arwah anak keempat daripada 10 beradik meninggalkan seorang isteri yang juga guru dan lima anak berusia sekitar tiga hingga 15 tahun.

Katanya, pihak keluarga masih belum memutuskan lokasi pengebumian sama ada di Kelantan atau ibu kota tetapi akan berbincang dengan keluarga yang lain.

ANGGOTA bomba mengusung mayat seorang daripada dua mangsa di lokasi kejadia. FOTO Fathil Asri
ANGGOTA bomba mengusung mayat seorang daripada dua mangsa di lokasi kejadia. FOTO Fathil Asri

Dalam kejadian hari ini, satu helikopter terhempas manakala satu lagi membuat pendaratan cemas di Taman Melawati.

Selain Mohd Irfan, seorang lagi mangsa maut dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, manakala dua lagi selamat iaitu Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 dan Tan Chai Eian, 51.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE]: Mangsa nahas helikopter dikenal pasti [METROTV]
  • Helikopter terhempas ketika ujian penerbangan [METROTV]
  • 2 maut helikopter terhempas [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 3:39 PM