Omar Ahmad

Johor Bahru: Perodua Myvi yang digunakan dua suspek dalam kemalangan maut membabitkan anggota polis di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar, Tebrau, awal pagi tadi, ditemui.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kereta berwarna ungu itu ditinggalkan di tepi jalan Kampung Pandan, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kemalangan.

Katanya, semakan awal mendapati ia disewa atas penyewa lain.

"Unit Forensik sudah membuat pemeriksaan dan analisa terhadap kenderaan itu. Memang terdapat peralatan berkaitan dadah. Kita syaki suspek terbabit sama ada dalam penyalahgunaan dadah ataupun pengedar dadah, sebab itu mereka melarikan diri.

"Sama ada kereta ini mempunyai saman atau tidak, kita sedang semak kerana ada kesukaran. Kereta ini adalah kereta yang disewa dan penyewa menyewakannya kepada orang lain," katanya pada majlis penghormatan terakhir kepada mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat di Balai Polis Bandar Dato'Onn, di sini, hari ini.

AYOB Khan (tengah) bersama Salman (kiri) dan Md Yusof Ahmad (kanan) menunjukkan senapang buatan sendiri serta senapang angin termasuk peluru yang dirampas. FOTO Zain Ahmed.
AYOB Khan (tengah) bersama Salman (kiri) dan Md Yusof Ahmad (kanan) menunjukkan senapang buatan sendiri serta senapang angin termasuk peluru yang dirampas. FOTO Zain Ahmed.

Majlis penghormatan itu turut disaksikan kakak mendiang, Elizcavelynicy Unchi Unggat, 23, bersama kira-kira 30 saudara-mara.

Ayob Khan berkata, beliau percaya dua suspek itu dapat dikesan dalam masa terdekat.

"Kita percaya suspek masih berada di Johor," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan Nicholester Dadup meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu MPV, Lans Koperal Mohd Khairul Musa, 32, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.

Jenazah mendiang akan diterbangkan ke Sibu menggunakan pesawat khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 1 tengah hari esok.

Berita berkaitan

Anggota polis maut kejar penjenayah, dua suspek diburu [METROTV]

'Mendiang adik janji mahu belikan rumah untuk ibu'

[UPDATE] Anggota polis maut ketika kejar penjenayah

Anggota polis maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:21 PM