LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Erika George


Miri: Ombak kuat serta ribut dipercayai punca yang menyebabkan tali sauh kapal platform MV Dayang Topaz terputus lalu merempuh sebuah pelantar minyak di Kuala Baram, di sini, pagi hari ini.

Insiden itu menyebabkan 126 kru terjun dari kapal berkenaan untuk menyelamatkan diri, bagaimanapun seorang dilaporkan meninggal dunia, manakala empat lagi masih hilang.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, pihaknya menerima makluman berhubung insiden berkenaan pada 7.45 pagi tadi.

Katanya, makluman awal yang diterima mengatakan keadaan cuaca yang buruk ditambah dengan faktor ombak yang tinggi sehingga mencecah lima meter itu menyebabkan kapal terbabit hilang kawalan lalu dihanyut ombak kuat.

"Sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 7.6 batu nautika, sejurus menerima panggilan berhubung kejadian bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang turut disertai agensi maritim yang lain, " katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden berkenaan.

Md Fauzi turut meminta agar orang awam tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung insiden yang berlaku sehingga siasatan mengenainya selesai dijalankan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som dalam kenyataannya berkata, setakat ini, seorang kru kapal disahkan meninggal, manakala empat lagi masih hilang dalam insiden berkenaan.

"Semasa kejadian, terdapat 187 kru berada dalam kapal berkenaan sebelum 126 daripada mereka terjun ke laut bagi menyelamatkan diri," ujarnya.

Setakat 8.45 pagi tadi katanya, seramai 121 kru berjaya diselamatkan oleh pasukan SAR yang turut serta usaha mencari dan menyelamat mangsa itu.

Ketika ini, pasukan SAR giat menjalankan kerja mencari dan menyelamat empat lagi mangsa yang masih hilang di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 11:54 AM