IZZAT mempersembahkan ucapan melalui rakaman video mengenai budaya orang Korea dalam tempoh tiga minit.
IZZAT mempersembahkan ucapan melalui rakaman video mengenai budaya orang Korea dalam tempoh tiga minit.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tidak pernah terfikir kebolehannya menguasai kemahiran berbahasa Korea mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Namun, itulah tuah Izzat Zuhailee Abd Hamid, 22, apabila diiktiraf dalam Korean Speech Contest 2020 anjuran Pusat Kebudayaan Korea, Los Angeles dan King Sejong Institute dengan menewaskan 200 peserta di seluruh Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Penuntut tahun akhir jurusan Biokimia dan Sastera dan Bahasa Korea, University of California, Berkeley, California Utara itu berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu secara tidak sengaja selepas menyahut cabaran pensyarahnya.

"Selalunya saya hanya rakam video tentang kemahiran saya berbahasa Korea ini dan muat naik di Twitter sekadar suka-suka untuk hiburan pengikut saya saja.

"Tetapi, segalanya bermula apabila seorang profesor kelahiran Korea mencadangkan penuntutnya menyertai pertandingan ini sebelum saya mencuba nasib menghantar penyertaan pada September lalu.

PENGGUNAAN stik lampu dalam kalangan peminat K-Pop sebagai topik yang dipilih.
PENGGUNAAN stik lampu dalam kalangan peminat K-Pop sebagai topik yang dipilih.

"Setiap peserta perlu mempersembahkan ucapan mengenai budaya orang Korea dalam tempoh tiga minit melalui rakaman video sebelum dihantar dan dinilai juri bertauliah," katanya.

Katanya, dia mendapat ilham dalam penghasilan video persembahannya menerusi program televisyen popular di Korea, Produce 101 yang diolah dengan cara dan kreativiti tersendiri.

"Saya mengolah Produce 101 kepada Present 101 dengan cara saya tersendiri dibantu dengan alat seperti televisyen, stik lampu, komputer riba dan iPad.

"Dalam tempoh hanya tiga minit saya membuat penerangan dalam gaya pembaca berita tentang penggunaan stik lampu dalam kalangan peminat K-Pop.

"Alhamdulillah, saya diumumkan sebagai pemenang pada 16 Oktober lalu. Rasa tidak percaya macam dalam mimpi kerana persaingan sangat sengit disertai lebih 200 peserta," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, kebolehan bertutur dengan baik dalam bahasa Korea didorong kerana minat dan latihan berterusan setiap hari selama lebih dua tahun dalam pengajiannya.

"Sejak saya di bangku sekolah lagi ketika bersekolah di Kolej GENIUS@Pintar, memang saya minat tengok drama dan mendengar lagu Korea.

"Kebetulan ada tawaran program bahasa, sejarah dan sastera di universiti ini membuatkan saya memilih mengambil kelas Korea secara formal sampai sekarang.

IZZAT membuat penerangan dengan gaya pembaca berita.
IZZAT membuat penerangan dengan gaya pembaca berita.

"Pada masa sama, saya kerap berlatih, misalnya ketika membaca artikel Korea, saya cuba meniru gaya pembaca berita, malah kalau tengok drama atau program realiti saya akan cuba lakon semula apa yang mereka cakap," katanya.

Dia yang bakal pulang ke tanah air tahun hadapan berkata, kejayaannya itu membuktikan semua orang mampu berjaya jika ada kesungguhan dalam melakukan sesuatu yang diminati.

"Kalau ada minat mendalam hendak belajar sesuatu kejar betul-betul lagi tinggi peluang untuk berjaya. Kalau rasa penat berhenti seketika dan teruskan kembali perjuangan sampai berjaya.

"Dulu ramai orang mempersoalkan mereka yang belajar bahasa Korea ini sekadar buang masa saja, tetapi melalui pengiktirafan ini saya dapat membuktikan ia berbaloi jika sesuatu perkara itu terbaik untuk diri kita," katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 6:45 AM