AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat berikutan situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

"Sekiranya PRK diadakan, Covid-19 akan menular sebagaimana ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

"BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilakukan kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kesejahteraan dan kesihatan rakyat adalah keutamaan.

Terdahulu, SPR dilaporkan akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu.

Menurut SPR, pelaksanaan PRK itu selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa, 13 Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 10:24 PM