CHAIRIL  melakukan kerja hariannya sebagai Pos Rider.
CHAIRIL melakukan kerja hariannya sebagai Pos Rider.
CHAIRIL memandu van untuk menghantar barang.
CHAIRIL memandu van untuk menghantar barang.
BERNAMA

Shah Alam: Kehidupan lelaki berusia awal 50-an ini dilihat cukup sempurna. Memiliki syarikat sendiri, beberapa kenderaan, menetap dalam kediaman selesa mahupun berbelanja ribuan ringgit setiap bulan!

Pastinya, kesenangan dan kehidupan penuh bergaya yang dinikmati usahawan Chairil Anwar Sabar bersama keluarganya menjadi impian sesiapa sahaja.

Namun begitu, siapa sangka segala kekayaan dikecapi dengan mengusahakan perniagaan acu tekan logam di Rawang, Selangor, akhirnya 'ternoktah' begitu sahaja akibat pandemik Covid-19.

Tidak ada satu pun yang dapat diselamatkannya apabila perusahaan yang dijalankan selama hampir 13 tahun itu terpaksa ditutup operasi berikutan kekangan dana untuk menguruskannya lagi.

Menurut Chairil Anwar, semuanya musnah sekelip mata dan apa yang tinggal hanyalah timbunan hutang syarikat bernilai puluhan ribu ringgit.

"Syarikat tidaklah besar, hanyalah SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan kami menjalankan proses acu tekan logam untuk penghasilan produk automotif, alatan sukan dan seumpamanya.

"Permintaan sebelum ini sangat memberangsangkan sehinggalah awal tahun ini perniagaan agak perlahan dan semakin teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mempunyai anak yang masih belajar dan paling kecil berusia dua tahun, keperitan hidup yang dihadapinya itu bertambah kritikal apabila bapa kepada tujuh orang anak ini gagal mendapat sebarang pekerjaan selain simpanannya mengalir laju untuk perbelanjaan keluarga mahupun membayar hutang.

Tiga bulan menganggur, namun semuanya berubah sebaik lelaki kelahiran Klang ini menyertai program Pos Rider pada akhir Mei lalu, iaitu inisiatif pekerjaan di bawah Pos Malaysia, sekali gus memberi 'sinar baharu' buat Chairil Anwar meneruskan kelangsungan kehidupan bersama keluarganya.

Chairil Anwar antara ejen Pos Rider yang dilantik daripada 1,400 Pos Rider seluruh negara oleh Pos Malaysia sepanjang tempoh PKP, bertujuan bukan sahaja melancarkan kapasiti penyerahan barang kepada pelanggannya.

Tetapi juga program yang diperkenalkan pada September 2019 ini menariknya berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang mata pencarian khususnya semasa tempoh PKP yang menyaksikan ramai kehilangan sumber pendapatan ketika itu.

Hakikatnya, pandemik Covid-19 yang menyerang seantero dunia membuatkan ramai kehilangan pekerjaan dan berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 10 September lalu, 79,737 orang hilang pekerjaan bagi 2020.

Namun berlainan pula dengan Pos Malaysia yang berjaya mewujudkan peluang pekerjaan pada saat situasi sangat kritikal apabila syarikat ini melantik 1,400 ejen Pos Rider hanya pada musim PKP sahaja.

"Pekerjaan baharu ini jauh berbeza daripada dulu, tidak lagi pakai 'sut' dan kerja di bawah penghawa dingin. Tetapi, saya gembira dan seronok apabila dapat bertemu pelbagai karakter orang setiap hari semasa menghantar barang.

"Yang penting, pendapatan sebagai Pos Rider sebenarnya agak lumayan sekiranya rajin. Kalau komited, mula bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu dan buat penghantaran sebanyak 150 barangan sehari, kiranya dalam seminggu sudah boleh dapat RM2,500.

"Jadi, kalau empat minggu bukankah boleh dapat RM10,000? Ia bukanlah pekerjaan bawahan dan saya pun tidak malu jadi Pos Rider," katanya yang menguruskan penghantaran barangan di kawasan Kota Kemuning dan Bukit Rimau, Selangor.

Dengan pendapatan menarik ini, Chairil Anwar yang sebelum ini hanya melakukan Pos Rider separuh masa kini menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki utamanya apabila ia berjaya membantunya meneruskan kelangsungan keluarga dan membayar hutang.

Menariknya, keseronokan yang dirasai Chairil Anwar sebagai Pos Rider turut diakui Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 33, sehingga anak muda ini komited menjadikannya sebagai pekerjaan jangka masa panjang kerana yakin ia terjamin dan stabil.

Malah, anak lelaki daripada empat beradik ini sedikit pun tidak menyesal melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta biarpun profesional tersebut biasanya dilihat tinggi dalam kalangan masyarakat.

Bagi bapa kepada seorang anak ini, dia mengakui tidak pernah terlintas suatu hari nanti akan terbabit dengan kerjaya penghantar barangan kerana beranggapan profesion pensyarah sudah cukup stabil.

"Semuanya mula berubah sejak PKP apabila kolej tempat saya mengajar terpaksa memotong hampir setengah gaji menyebabkan baki yang tinggal tidak cukup sara keluarga. Jadi, saya pun ambil keputusan berhenti kerja dan cari pekerjaan lain tetapi tidak berjaya.

"Memang tertekan sebab duit simpanan banyak keluar dan terpaksa juga pinjam dengan emak ayah.

"Tetapi, syukur selepas ternampak iklan Pos Rider di Facebook dan permohonan berjaya, saya kini komited menjadikan Pos Rider sebagai pekerjaan tetap selepas hampir lima bulan bekerja," katanya yang sebelum ini mengajar bidang kejuruteraan automotif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:30 AM