MOHAMAD. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya Presiden Umno memberikan petunjuk dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahli, bagaimana parti itu perlu meneruskan kerjasama dengan saingan politik mereka, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, parti perlu memikirkan semula pendekatan politiknya, selepas keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini menunjukkan strategi dan kerjasama politik yang dimeterai, tidak menguntungkan parti itu.

"Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, Umno waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru Mohamad berkata, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, bagi meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli, terhadap cara Umno diperlakukan dalam PRN Sabah.

Malah katanya, jika Umno terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN) serta parti komponennya, dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, maka ia harus diputuskan segera agar parti itu dapat bersedia.

"Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek, dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang.

"Pengorbanan Umno memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan Umno, secara signifikan," katanya.

Lebih menyedihkan katanya, Umno terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan, untuk melemahkan Umno.

Beliau berkata, janji yang dimeterai berkaitan potfolio Kabinet pun hampir dimungkiri.

Katanya, Umno mesti berhenti bernostalgia, bahawa kerjasama politik melalui 'langkah Sheraton' adalah demi menyelamatkan negara sudah berakhir.

Episod seterusnya ialah bagaimana Umno akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik, melalui BN dan bukannya platform politik lain.

"Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu, atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:01 PM