TAWARAN diberikan agensi mencari jodoh. FOTO ihsan Zainudin Mohd Jaafar
TAWARAN diberikan agensi mencari jodoh. FOTO ihsan Zainudin Mohd Jaafar
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebuah rumah, kereta, belanja bulanan, pakej umrah dan modal untuk isteri berniaga.

Itu lima tawaran buat wanita yang ingin menumpang kasih menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat ditawarkan agensi mencari jodoh.

Pakej poligami itu inisiatif agensi mencari jodoh milik Zainudin Mohd Jaafar.

Lelaki berusia 56 tahun itu berkata, pakej khas itu khusus buat wanita yang ingin berkahwin dan lelaki berkemampuan namun memerlukan peneman.

"Jika mahu berpoligami pastinya seorang wanita mahu jaminan dalam hidup mereka dan disebabkan itu kestabilan ekonomi dan pendapatan stabil menjadi ukuran.

"Saya hanya akan menemuduga dan menerima lelaki yang berkemampuan saja, cinta saja tidak cukup untuk hidup dalam dunia ini," katanya kepada Harian Metro.

Zainudin berkata, setakat ini dia sudah menerima 30 permohonan daripada lelaki 'kaya' untuk mencari calon isteri kedua, ketiga dan keempat.

"Apabila mereka datang ke agensi ini, saya akan meminta bukti kemampuan lelaki berkenaan termasuk slip pendapatan, pembayaran cukai pendapatan, jenis kereta termasuk penampilan.

"Malah, kriteria lelaki itu wajib sihat zahir dan batin supaya tiada masalah di kemudian hari," katanya.

Zainudin dan banting agensi mencari jodoh miliknya. FOTO ihsan Zainudin Mohd Jaafar
Zainudin dan banting agensi mencari jodoh miliknya. FOTO ihsan Zainudin Mohd Jaafar

Katanya, bagi calon wanita yang ingin menumpang kasih setakat ini pihaknya menerima 15 permohonan.

"Tidak ramai wanita berminat dengan poligami terutama bagi mereka yang sudah lanjut usia.

"Antara kriteria bagi wanita yang akan saya pertimbangkan, berusia 30 hingga 40 tahun, sihat tubuh badan dan belum menopaus.

"Wanita berasal dari negeri mana dan bekerja atau tidak bukan kriteria yang menjadi ukuran," katanya.

Menceritakan bagaimana dia mendapat idea membuat pakej berkenaan, Zainudin mengakui dia mahu membantu umat Nabi Muhammad SAW membina masjid terutama wanita lanjut usia.

"Saya lihat ramai wanita kini tidak berkahwin dan terfikir idea ini sebaik menerima permohonan seorang isteri pertama yang mencari calon isteri kedua buat suaminya.

"Alasan wanita itu dia sudah tidak dapat melayani suaminya dan terfikir mahu mencari isteri kedua lebih-lebih lagi lelaki itu berkemampuan," katanya.

Katanya, dia hanya membantu pasangan bertemu jodoh dan urusan perkahwinan perlu diuruskan sendiri oleh mereka.

"Saya bantu menemukan 'jodoh', urusan selebihnya perlu diuruskan pasangan berkenaan termasuk di jabatan agama.

"Alhamdulillah sejak agensi ini ditubuhkan pada 2006, lebih 1,000 pasangan sudah disatukan dan berharap pakej poligami ini juga mendapat sambutan ramai," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi calon suami berpoligami atau isteri kedua, ketiga dan keempat boleh menghubungi Zainudin di talian 019-6071088 atau 013-3632188.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:00 PM