MODAL digunakan Keow untuk mulakan misi solonya (kiri) dan Keow sudah tiba di sempadan Perak (kanan). FOTO ihsan Keow Wee Loong
MODAL digunakan Keow untuk mulakan misi solonya (kiri) dan Keow sudah tiba di sempadan Perak (kanan). FOTO ihsan Keow Wee Loong
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Hanya berbekalkan RM6 dan beberapa kelengkapan asas diisi dalam beg galas sudah memadai buat jurugambar, Keow Wee Loong melakukan misi berjalan secara solo dari rumahnya di Taman Desa, di sini, sejak 7 September lalu.

Pemuda berusia 32 tahun itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang destinasi untuk dituju dan setakat semalam, dia yang dihubungi Harian Metro memaklumkan sudah berada di Pulau Pinang serta bercadang meneruskan perjalanan ke Kelantan, hari ini.

Berkongsi tujuannya berbuat demikian, Keow berkata, dia yang tidak pernah berjalan kaki sejauh itu melakukannya secara spontan.

Menurutnya, masalah kemurungan dan perselisihan faham dengan teman wanita mempengaruhinya bertindak melakukan misi berkenaan.

"Saya tidak merancang ataupun melakukan persediaan untuk berjalan solo sejauh ini sebaliknya keinginan datang secara tiba-tiba selepas bangun tidur pada hari itu.

"Malah, saya hanya berjalan mengikut gerak hati dan bermula jam 8 pagi dari rumah kemudian melalui Jalan Duta Kiara, Mont Kiara seterusnya memasuki lebuh raya," katanya yang juga penghidap bipolar.

Keow berkata, sepanjang perjalanan dia pernah ditahan kereta peronda polis dan disoal oleh anggota kerana berjalan sendirian namun tidak dibawa menaiki kenderaan disebabkan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, selain anggota polis, ada juga pengguna lebuh raya mahu menawarkan bantuan dengan mempelawa menaiki kenderaan mereka tetapi dia menolak secara baik kerana enggan menyusahkan sesiapa.

"Sepanjang perjalanan, ramai menawarkan bantuan kepada saya malah ada seorang individu lelaki bersungguh mahu memberikan wang walaupun saya berat menerimanya.

"Ia bukti rakyat Malaysia sangat prihatin tetapi kalau boleh, saya tidak mahu membebankan sesiapa kerana saya melakukannya dengan kerelaan hati tanpa sebarang paksaan," katanya.

Keow berkata, setiap hari, dia akan berjalan sejauh 30 hingga 40 kilometer (km) bermula seawal jam 6 pagi dan berehat atau bermalam di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) atau mana-mana kawasan yang dirasakan selamat di dalam khemah sebelum meneruskan semula perjalanan.

Katanya, dia membawa baju hujan bersama jadi tiada masalah untuknya meneruskan perjalanan walaupun ketika hujan.

"Kebiasaannya, saya akan memulakan perjalanan sebelum matahari terbit dan berjalan kira-kira dua jam sehari tetapi bergantung kepada keadaan.

"Ada juga yang mahu berjalan sama dengan saya tetapi berubah fikiran pada saat akhir kerana mempunyai urusan lain.

"Pengalaman lain adalah beg saya hampir dibawa lari ketika bermalam di satu tempat tetapi tidak berjaya malah saya juga tidak dicederakan. Ketika berhenti di R&R pula, ada beberapa individu mengajak mengambil gambar bersama, mungkin kerana mereka terbaca kisah saya di laman sosial," katanya.

Keow berkata, dia tidak tahu bila akan menamatkan misinya itu tetapi seronok dengan pengalaman dilalui sepanjang melakukan misi berjalan solo itu.

"10 tahun lalu, saya pernah berbasikal secara solo dari Kuala Lumpur ke Hanoi, Vietnam tetapi ketika itu, saya sudah bersiap sedia, tidak seperti kali ini.

"Namun, pengalaman kali ini juga tidak kurang menyeronokkan malah memberi saya kelegaan dan semangat positif selepas mengalami kemurungan terutama sejak Covid-19 melanda.

"Saya tahu perkara ini sudah tular tetapi bukan itu yang saya mahukan cuma berharap orang ramai termasuk teman wanita saya melihat apa saya lakukan ini daripada sudut positif," katanya.

Keow mula memuat naik gambar bagi berkongsi perkembangan misi berjalan kaki solonya di Twitter dan Instagram sejak 7 September lalu dan rata-rata warganet kagum dengan kesungguhannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 9:00 PM