LIU Ying (kanan) dan Peng Soon meraih pingat perak dalam kategori beregu campuran pada Sukan Olimpik Rio 2016.
LIU Ying (kanan) dan Peng Soon meraih pingat perak dalam kategori beregu campuran pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Aida Adilah Mat


BERDIRI di atas podium sambil lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibaran adalah detik paling indah buat pemain badminton jelita negara, Goh Liu Ying.

Kejayaannya bersama Chan Peng Soon menghadiahkan pingat perak dalam acara beregu campuran di temasya Sukan Olimpik Rio empat tahun lalu sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia ketika mereka langsung tidak diletakkan sebarang harapan.

Ramai yang melihat aksinya dengan rambut berikat dan pelindung lutut berwarna hitam dipakai di kedua-dua kakinya.

Berada di kedudukan ke-79 dunia beberapa bulan sebelum Olimpik di bumi Brazil, beregu itu berlatih dengan sepenuh hati dan pada masa sama Liu Ying memberikan tumpuan lebih kepada usaha memulihkan kekuatan pada lututnya.

Perlahan-lahan, namun pasti Liu Ying dan Peng Soon mendaki satu demi satu anak tangga untuk menempatkan diri dalam Olimpik 2016.

Dengan reputasi sederhana sebelum itu, tidak ramai yang menjangkakan Liu Ying dan Peng Soon mampu pergi lebih jauh daripada sekadar pusingan suku akhir.

Tapi ia meleset apabila mereka mara hingga ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 14–21, 12–21.

Kata Liu Ying, dia berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah negara kerana tiada apa yang penting bagi dirinya selain dapat menghadiahkan kejayaan buat Malaysia.

Liu Ying menjadi inspirasi kepada ramai wanita di luar sana. Cintanya kepada badminton tidak mungkin boleh dibeli dengan wang ringgit. Banyak yang dikorbankannya hanya kerana mahu membanggakan negara.

Sempena ulang tahun kemerdekaan, Liu Ying turut berkongsi kenangan manisnya sepanjang bergelar atlet namun semua itu tidak mudah diraih.

"Ranjau dan liku yang terpaksa dilalui meninggalkan kesan mendalam namun perjuangan tetap diteruskan," kata model sambilan berusia 31 tahun itu.

Tiga kali dia menjalani pembedahan bermula pada 2013 untuk merawat kerosakan ligamen dan tulang rawan. Setahun selepas itu, dia sekali lagi menjalani pembedahan lutut kiri. Pada 2017 kesakitan pada bahunya tidak dapat dibendung lagi dan dia sekali lagi menjalani pembedahan untuk mengurangkan kesakitan itu.

"Tak mengapa. Itu pengorbanan sebagai seorang atlet untuk negara sebab memang saya nak main badminton untuk negara. Kecederaan itu sampai sekarang belum sembuh sepenuhnya. Selagi saya main selagi itu kecederaan itu tidak akan pulih.

"Buat anak muda, berlatih bersungguh-sungguh jika mahu menjadi atlet bertaraf dunia. Kita hidup mesti ada sasaran, jangan mengalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:35 AM