Datuk Dr Zulkifli menyantuni warga tua dengan sumbangan wang Hari Raya Aidil Adha pada Program YADIM Peduli Cuci-Cuci Dan Musa'adah Pasca Covid-19, di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir. FOTO ZAID SALIM
Datuk Dr Zulkifli menyantuni warga tua dengan sumbangan wang Hari Raya Aidil Adha pada Program YADIM Peduli Cuci-Cuci Dan Musa'adah Pasca Covid-19, di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik, Manir. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


UMAT Islam yang melaksana ibadat korban diingatkan supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ingatan berkenaan bagi mengelak wujudnya kluster baharu disebabkan ibadat berkenaan yang diadakan sempena Aidiladha.

"Kita sudah mengeluarkan SOP lengkap ibadat korban yang sudah dimuktamadkan dan peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

"Isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam...oleh kerana itu, jaga perkara ini (patuhi SOP). Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli: Cuci Cuci dan Musa'adah Pasca Covid-19 Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah Kubang Lembik, di sini semalam.

Berhubung SOP solat Aidiladha, Dr Zulkifli berkata, ia SOP sama seperti solat Jumaat yang menunjukkan tahap pematuhan 99.5 peratus.

Ditanya sama ada kementerian akan mengetatkan semula SOP di masjid berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara baru-baru ini, katanya, perkara itu akan dibuat mengikut penilaian semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 7:00 AM