Yusmizal Dolah Aling


"SAYA ingin teruskan membersihkan nama saya."

Itu reaksi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata, ketika diberi ruang untuk bercakap pada penghujung perbicaraan, antara yang disebut ialah pencapaian ketika menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun dan mengulangi sumpah bahawa beliau tidak meminta, ditawarkan atau dalam pengetahuannya mengenai wang RM42 juta yang dikatakan masuk ke dalam akaunnya.

Najib berkata, ia adalah pengakuan yang diberikan kerana ingin menyatakan dengan tegas bahawa ia adalah benar dan sanggup melafazkan sumpah 'wallahi, wabillahi, watallahi' sebanyak dua kali untuk dirakamkan sebagai satu pengakuan.

"Oleh kerana kes ini dalam proses lanjutan di peringkat rayuan, saya tidak boleh cakap lebih lagi, tapi peguam saya Tan Sri Shafie peguam saya boleh menyatakan satu dua perkara," katanya pada sidang media di kompleks mahkamah sebentar tadi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kes itu akan dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan yang akan diadili oleh tiga hakim seperti mana sistem kehakiman negara dan dapat memberi hujah yang boleh diterima.

Ditanya mengenai keputusan itu akan memberi impak kepada peluangnya pada pilihan raya umum akan datang, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia tidak akan memberikan apa-apa kesan dan ia bergantung kepada interpretasi undang-undang.

"Ini bukanlah pengakhiran kerana kita dalam proses rayuan. Saya harap pengikut saya terus bersama saya dengan semangat yang tinggi," katanya.

Menurutnya, keputusan itu tidak semestinya akan memberi kesan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan berharap kepada semangat setiakawan sesama mereka.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan diputuskan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun mengenakan syarat tambahan iaitu wang jaminan ditambah RM1 juta menjadikan ia RM2 juta.

Sementara itu, Muhammad Shafie berkata, walaupun beliau kecewa dengan keputusan itu, namun ia tidak memberikan tekanan dan akan melakukan yang terbaik dalam proses rayuan.

Katanya, sejak mula, beliau percaya bahawa kes berkenaan kuat dan ada peluang yang cerah di dalam proses rayuan.

"Saya beritahu hakim bahawa saya akan kemukakan rayuan dalam tempoh tiga bulan untuk peringkat permulaan, selepas itu rayuan kedua dalam tempoh empat bulan selepas itu," katanya.

NAJIB meninggalkan mahkamah selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
NAJIB meninggalkan mahkamah selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Berkaitan

  • Hukuman penjara Najib ditangguh, jaminan RM2 juta
  • Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta
  • 'Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tak tahu RM42 juta itu' - Najib
  • Mahkamah tolak permohonan tangguh, hukuman Najib hari ini
  • Penyokong Najib akan dikompaun jika degil tak patuh SOP
  • Datang ke mahkamah lepas Subuh
  • Pasukan Najib mahu rayuan ringan hukuman ditangguhkan
  • Kes SRC: Najib bersalah! [METROTV]
  • Warganet risau wujud kluster Najib
  • Kronologi kes SRC
  • Najib tiba di mahkamah
  • Kes SRC: Hanya 10 media dibenar masuk mahkamah>
  • Kes SRC: Ratusan penyokong hadir ke mahkamah
  • Nasib Najib ditentukan 10 pagi ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 8:36 PM