Redzuan Muharam


"KAKAK dan anak saudara saya terlalu rindukan Adik (nama panggilan untuk buaya tembaga) hingga jadi murung dan kurang bercakap seperti dulu," kata Siti Nor Asikin Derahim.

Siti Nor Asikin, 30, berkata, perubahan dua beranak itu ketara selepas buaya tembaga betina peliharaan mereka diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dua bulan lalu.

Katanya, bukan saja kakak dan anak saudaranya, Firdaus Fitri Mohd Fadil, 14, malah seluruh keluarganya terkesan dengan pemergian reptilia itu.

Bercerita lanjut, Siti Nor Asikin berkata, Adik ditemui bapanya selepas tersangkut pada pukat di Pantai Kampung Penarik, Setiu, Terengganu ketika menjalankan aktiviti nelayan, enam tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu Adik cedera dan bapanya membawanya pulang ke rumah untuk dirawat.

Katanya, sejak itu, anak saudaranya memelihara dan menghabiskan masa dengan Adik yang menjadi seperti rakan karibnya ketika di rumah.

1.BUAYA tembaga betina diberi nama Adik dipelihara Firdaus Fitri sejak kecil. (Gambar kanan) Siti Nor Asikin bergambar dengan Adik.
1.BUAYA tembaga betina diberi nama Adik dipelihara Firdaus Fitri sejak kecil. (Gambar kanan) Siti Nor Asikin bergambar dengan Adik.

"Adik dipelihara sejak saiznya sebesar tapak tangan lagi dan sudah menjadi seperti sebahagian daripada ahli keluarga kami.

"Lagipun, Adik jinak dan paling manja dengan Adik Yie (Firdaus Fitri) yang sering memberi makan dan memandikannya.

"Adik sentiasa menemani Adik Yie ke mana saja termasuk ketika menonton televisyen dan menyiapkan kerja sekolah, malah turut tidur di katil bersama Adik Yie," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ibu kepada tiga anak yang menetap di Jeli, Kelantan itu berkata, sepanjang tinggal bersama, Adik tidak pernah bertindak agresif terhadap ahli keluarganya atau tetamu yang datang ke rumah mereka.

Katanya, biarpun sudah menyediakan kolam buat Adik, haiwan berkenaan lebih selesa hidup bebas di dalam rumah.

"Memandangkan Adik jinak, kakak dan anak saudara saya hanya membiarkannya bergerak bebas di dalam rumah.

"Jinaknya Adik sehingga tidak pernah mencederakan sesiapa, malah nampak bersahaja setiap kali tetamu datang ke rumah mahu berswafoto dengannya.

"Mungkin kerana itu, sukar untuk kami sekeluarga melupakannya sehingga ke hari ini," katanya.

Siti Nor Asikin berkata, dia sekeluarga tahu tindakan memelihara haiwan itu adalah satu kesalahan.

Disebabkan itu, katanya, mereka akur dengan tindakan pegawai Perhilitan datang ke rumah mengambil Adik walaupun tidak diberi notis awal.

ADIK ibarat rakan karib Firdaus Fitri ketika di rumah.
ADIK ibarat rakan karib Firdaus Fitri ketika di rumah.

"Cuma, kami risau sekiranya Adik tidak berselera makan dan menyesuaikan hidup di habitat baru kerana selama ini, kakak atau Adik Yie yang menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

"Kakak dan Adik Yie pernah berikhtiar menjejakinya, tetapi tidak berjaya dan hanya menerima maklumat Adik ditempatkan di sebuah mini zoo di Selangor.

"Namun, maklumat itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. Jika tidak dapat memelihara semula Adik sekalipun, saya berharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan untuk memberi hak jagaan sementara kepada kakak dan Adik Yie," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:30 PM