LIU Ying membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan fitnah terhadapnya. FOTO FB Goh Liu Ying
LIU Ying membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan fitnah terhadapnya. FOTO FB Goh Liu Ying
Aida Adilah Mat


PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying menegaskan bahawa dia bukanlah individu yang didakwa menjadi perosak rumah tangga orang.

Liu Ying yang meraih pingat perak ketika bergandingan dengan Chan Peng Soon di Sukan Olimpik Rio pada 2016, dalam status dimuat naik di akaun Facebook miliknya menafikan dengan sekeras-kerasnya gosip berkenaan.

Bagi mengelakkan ia terus berterusan, atlet yang juga model sambilan itu membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan fitnah berkenaan.

"Saya dengan tegas mengesahkan bahawa saya tidak mengganggu, terbabit atau menjadi pihak ketiga dalam perkahwinan sesiapa pun," katanya.

Biar apa pun, Liu Ying menegaskan bahawa perkara yang berlaku ketika ini tidak akan mengganggu tumpuannya terhadap latihan dan fokus ke Olimpik Tokyo.

"Saya Goh Liu Ying ingin mengucapkan terima kasih terhadap mereka yang mengambil berat dan terus memberi sokongan kepada saya.

"Semua khabar angin yang bertiup di internet ketika ini adalah tidak berasas. Saya tidak bersalah di atas berita palsu yang sudah pun mempengaruhi mereka yang rapat dengan saya dan selama ini banyak berkorban demi kejayaan saya hari ini.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyerang saya atau mereka yang berniat jahat menyebarkan fitnah ini di internet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 10:15 PM