Audrey Dermawan

POLIS menahan pelajar kolej dan teman lelakinya masing-masing berusia 18 tahun bagi membantu siasatan kes bayi baru dilahirkan dicampak dari tingkat 13 sebuah apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown, pagi tadi.

Remaja yang dipercayai ibu kepada bayi itu ditahan di kediamannya pada 11.55 pagi.

Difahamkan dia menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan keluarga.

Susulan tangkapan itu, teman lelakinya yang juga penganggur dan mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan di sebuah rumah di Jalan Penawar jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat bayi perempuan itu di parkir tingkat empat bangunan pada jam 8.25 pagi daripada penduduk.

"Siasatan awal, ibu bayi itu mengaku dia terjaga dari tidur jam 6 pagi kerana sakit perut. Selepas 30 minit, dia ke tandas untuk membuang air besar.

"Dia mendakwa ketika itu bayi terjatuh ke dalam mangkuk tandas dan sempat mendengar tangisan kecil.

"Dia kemudian membungkus bayi itu dengan baju T yang dipakainya dan mencampakkan bayi itu melalui tingkap," katanya hari ini.

Bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan beberapa ahli keluarga suspek berada di rumah ketika kejadian namun tidak menyedari apa yang berlaku.

Soffian berkata, pelajar kolej dan teman lelakinya itu di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Sementara itu, penduduk, Ahmad Nizam Bakar, 46, dia mengetahui kejadian itu pada 8.18 pagi menerusi kumpulan WhatsApp.

Dia yang juga setiausaha persatuan penduduk bergegas turun ke tingkat empat dan mendapati mayat bayi itu dalam keadaan tersembam.

"Saya segera memanggil pengawal keselamatan untuk membawa kotak bagi menutup mayat manakala penduduk lain menghubungi polis," katanya.

Menurutnya, dia mengenali keluarga suspek dan mereka kelihatan baik.

Berita berkaitan

Ibu zalim campak bayi dari tingkat 13 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 3:48 PM
POLIS menahan pelajar kolej yang disyaki mencampak bayi dari tingkat 13 apartmen Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown, pagi tadi. FOTO Audrey Dermawan
POLIS menahan pelajar kolej yang disyaki mencampak bayi dari tingkat 13 apartmen Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown, pagi tadi. FOTO Audrey Dermawan