HANYA terima tawaran mampu dibawa dengan baik manakala yang menuntut permainan emosi baginya terlalu sukar.
HANYA terima tawaran mampu dibawa dengan baik manakala yang menuntut permainan emosi baginya terlalu sukar.
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my

WALAUPUN kerjaya utamanya lebih tertumpu pada nyanyian, namun Sarah Suhairi tetap sedia mencuba nasib sebagai pelakon.

Sarah yang mula berlakon dalam drama pendek berjudul #SisCuba pada 2018 meneruskan langkahnya dengan membintangi telefilem Geng Big Stage Beraya sempena Aidilfitri tahun lalu.

Pada tahun ini, Sarah muncul lagi berlakon drama berjudul Salam Squad 2.0 yang menggandingkan dia dengan beberapa pelakon kanak-kanak berbakat.

Mengulas pembabitannya, Sarah berkata, dia gementar, tetapi situasi itu dapat diatasi dengan cepat.

Katanya, dia bernasib baik kerana mendapat bantuan daripada rakan pelakon dan pengarah.

"Kesukaran saya dalam berlakon adalah sering memandang ke arah kamera. Ini kerana saya sudah terbiasa kalau menyanyi mesti pandang tepat pada kamera.

"Jadi, selalu jugalah saya kena tegur dengan pengarah supaya tak pandang ke arah kamera dan berlakon harus semula jadi. Bagaimana pun, saya seronok melakukannya.

"Lebih menarik lagi saya mendapat sokongan semangat daripada pelakon lain seperti Mia Sara dan Rykarl Iskandar yang banyak membantu dan tidak lokek ilmu," katanya.

Ditanya soal watak, Sarah berkata, dia akan terima tawaran yang padanya mampu dilakonkan dengan baik. Dia enggan mengambil watak yang menuntut permainan emosi.

SARAH selalu kena tegur dengan pengarah supaya tidak pandang ke arah kamera dan berlakon harus semula jadi.
SARAH selalu kena tegur dengan pengarah supaya tidak pandang ke arah kamera dan berlakon harus semula jadi.

"Untuk watak yang perlukan saya sedih dan menangis, memang takkan ambillah. Bukan saya tidak mahu mencuba, tetapi rasanya terlalu sukar untuk melakonkan watak itu dengan baik dan berkesan.

"Lagipun, setakat ini tawaran berlakon yang saya terima tidak memerlukan terikat jadual penggambaran yang lama di lokasi. Paling lama pun, hanya satu minggu sahaja," katanya.

Menurut Sarah yang juga juara Big Stage musim pertama, dia sekadar mencuba sebagai pelakon.

Katanya, masih banyak ilmu lakonan yang perlu ditimba selain memperbaiki kelemahan diri untuk lebih baik.

Rancang muncul lagu baharu

Pernah popular dengan lagu seperti Pedih, Nyawa dan Raga serta Rise & Fall, Sarah memaklumkan dia kini dalam proses merakamkan lagu baharu.

Katanya, setakat ini memang sudah ada beberapa lagu dalam pemilihan, cuma belum ada kata putus untuk lagu yang akan dipilih sebagai lagu solonya nanti.

"Saya seorang yang teliti dalam kerja dan tidak mahu terburu-buru. Oleh itu, saya beserta syarikat rakaman masih perlukan masa untuk meneliti, sebelum kami membuat sebarang keputusan.

"Lagi pun, saya menyanyi tidak terikat dengan genre muzik tertentu. Alhamdulillah, saya boleh nyanyi apa sahaja genre lagu kerana mahu dikenali sebagai penghibur serba boleh," katanya.

Sehubungan itu, Sarah juga pernah muncul dengan lagu duet berjudul Bicara Rasa bersama penyanyi Ariff Bahran, tahun lalu. Malah, gandingan mereka disukai peminat.

Sarah berkata, jika dia masih ada peluang berduet dengan Bahran lagi, pasti tidak akan ditolak. Ini kerana, dia selesa untuk terus bekerjasama kerana mereka mudah berbincang dan saling bertukar pendapat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:00 AM