Wartawan HM

PENUNTUT institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini, dengan kemasukan sepenuhnya, Oktober depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad mengumumkan perkara itu di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kebenaran itu selepas mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Empat lagi kategori pelajar akan dibenarkan kembali ke kampus mulai bulan ini.

"Kumpulan ini adalah tambahan kepada lima kategori yang telah diberi kebenaran sama sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, empat kategori itu ialah penuntut tempatan di IPT swasta (IPTS) sebanyak 30 peratus; penuntut tahun satu, dua, tiga dan empat universiti awam (UA) dalam pengajian memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan Badan Profesional.

"Selain itu, pelajar tahun satu hingga empat di UA yang tiada akses Internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

"Manakala, pelajar antarabangsa di kedua-dua UA dan IPTS, termasuk penuntut baharu. IPT dan pelajar dipohon buat persediaan diperlukan mulai sekarang," katanya dalam sidang media.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Noraini berkata, IPT juga diberi kebebasan dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian termasuk meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian mengikut keperluan program masing-masing.

Katanya, kementerian berpendapat tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baharu dimulakan pada Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak melakukan persiapan.

"Pelajar yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri. Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan.

"Aktiviti pelajar yang dibenarkan dengan syarat ia tidak boleh melebihi 250 orang tertakluk saiz ruang dan penjarakan sosial," katanya.

Mengenai penuntut antarabangsa, beliau berkata, mereka perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberi kebenaran masuk ke Malaysia selain menjalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, mereka juga perlu menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh IPT masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 5:11 PM