KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Zaid Salim


TIGA maut termasuk bayi perempuan, manakala seorang parah dan tiga cedera apabila kereta dinaiki terbabas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong, Kampung Sungai Tong, Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah Nur Raisha Delisha Mohamad Amirul Affis, lima bulan dan bapanya, Mohamad Amirul Affis Mohamad, 23, serta adiknya Mohamad Amirul Akimi, 15.

Pemandu kereta, Hanisyafiqah Syazwany Yaakub, 27, yang juga ibu kepada bayi terbabit dan tiga penumpang lain iaitu Muhammad Rayyan Ashraff, 6, serta adiknya Muhammad Rizairil Adam Alias, 3, selain mangsa dikenali sebagai Balqis Mohamad, 8, cedera.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Honda Jazz dipandu Hanisyafiqah Syazwany hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan.

"Kejadian itu menyebabkan suami dan bayinya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan seorang lagi yang duduk di tempat duduk belakang maut akibat parah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Afandi berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke rumah keluarga mereka di Kampung Tok Randok, Ajil, Kuala Berang.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Setiu (HS) untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 2:22 PM