BUKAN sekadar dikenali penonton tempatan namun aura Uyaina terus menular hingga negara jiran.
BUKAN sekadar dikenali penonton tempatan namun aura Uyaina terus menular hingga negara jiran.
Norhayati Nordin

KINI sebut sahaja nama Uyaina Arshad, bukan sekadar penonton tempatan yang mengenali, namun auranya terus menular hingga negara jiran, Indonesia.

Ternyata pembabitan Uyaina dalam pengacaraan dan lakonan diterima baik banyak pihak.

Tarikannya di media sosial juga mantap dengan jumlah pengikut Instagram seramai 1.4 juta orang.

Begitu juga platform digital seperti saluran YouTube Uyaina yang kini mencatat 152,000 langganan hingga melayakkan dia mendapat 'Silver Play Button'.

Seiring populariti dikecapinya, Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 28, juga tidak terlepas dari dikait dengan gosip cinta.

Uyaina yang berjaya mengembangkan bakat pengacaraannya hingga Indonesia sejak 2018 mendapat peluang mengacara pelbagai program TV bersama Indosiar.

TARIKANNYA di media sosial juga mantap.
TARIKANNYA di media sosial juga mantap.

Salah satu program dihoskan Uyaina ialah Dangdut Academy Asia 5 (DAA5) tahun lalu yang menemukannya dengan penyanyi dangdut Indonesia, Reza Zakarya, 30, selaku pengkritik tetap hingga dikatakan bercinta.

Uyaina yang pernah mengaku rapat dengan Reza sebagai sahabat berkata, mereka sepakat mahu saling berkenalan dahulu kerana berlainan negara.

"Sejujurnya, di pihak saya hubungan rapat kami hanya sebagai sahabat dan tidak pernah ada apa-apa fasa yang serius. Kami juga sangat menjaga batas pergaulan sebagai rakan baik.

"Kami juga tak pernah membuat kenyataan bercinta. Jadi, sebagai sahabat yang mengenali Reza, saya sangat gembira dengan pengumumannya baru-baru ini sudah bertemu calon isteri.

"Saya ucapkan tahniah dan mendoakan dia dilimpahi kebahagiaan. Terus terang, saya sedikit pun tidak ada perasaan sedih, marah dan berasa seperti kena tikam berlakang," katanya.

Menurut Uyaina, apa pun dia sangat berterima kasih kepada semua peminat yang sukakan gandingan mereka berdua kerana nampak cocok atau serasi bersama.

Kata pengacara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 itu, dia sangat berharap peminatnya dan Reza faham bahawa mereka ada kehidupan masing-masing yang perlu diberi fokus.

BERTERIMA kasih pada semua peminat yang sukakan gandingannya bersama Reza.
BERTERIMA kasih pada semua peminat yang sukakan gandingannya bersama Reza.

"Saya amat mengharapkan peminat faham iaitu Reza ada kehidupannya dan saya pun ada jalan hidup sendiri. Pada masa kini, saya mahu beri tumpuan pada kerjaya dibina.

"Alhamdulillah, perjalanan kerjaya saya sekarang jadualnya agak padat. Selain aktif mengacara untuk program TV, saya juga akan terbabit dengan penggambaran drama terbaharu," katanya.

Menurut Uyaina, apa yang pasti masih banyak pencapaian dan kalau boleh ingin dimiikinya terlebih dahulu sebelum berfikir mahu mendirikan rumah tangga.

Kukuhkan kerjaya dalam negara

Berikutan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu, beberapa perancangan program TV yang perlu dihoskan Uyaina di Indonesia terpaksa ditangguh dan dibatalkan.

Mengikut perancangan awal, Uyaina dipilih menjadi pengacara untuk pertandingan Puteri Muslimah Asia 2020 yang dijadualkan pada 1 April lalu.

Uyaina juga sepatutnya terbabit dengan program sempena Ramadan lalu di Indosiar, tetapi semuanya dibatalkan kerana Covid-19.

TERUJA berlakon drama arahan Michael Ang berjudul Perempuan Tanpa Dosa.
TERUJA berlakon drama arahan Michael Ang berjudul Perempuan Tanpa Dosa.

Apapun, situasi yang berlaku ini memberi peluang Uyaina mengukuhkan nama, bakat dan kerjaya seninya dalam negara menerusi tawaran diterima.

"Alhamdulillah, pada Julai ini saya terbabit dengan dua tanggungjawab kerja yang besar iaitu sebagai pengacara untuk program pencarian bakat realiti TV baharu serta lakonan.

"Insya-Allah, saya akan berlakon dalam drama arahan Michael Ang berjudul Perempuan Tanpa Dosa yang menggandingkan saya dengan Kamal Adli, Uqasha Senrose dan Yusuf Bahrin," katanya yang sibuk dengan komitmen kerja hingga September depan.

Katanya, bekerja dengan Michael untuk drama juga salah satu impiannya yang jadi kenyataan dan dia teruja.

Nama Uyaina dalam lakonan semakin melonjak selepas dia membintangi drama Jujurlah Nikahi Aku arahan Rashid Sibir sebagai Nurin pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 6:00 AM