GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rosyahaida Abdullah


PERBINCANGAN mengenai pelaksanaan solat Jumaat secara dua sesi akan dilakukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mesyuarat itu akan memutuskan sama ada solat Jumaat boleh dilakukan secara dua sesi di negara ini serta prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian sebelum dibawa kepada Majlis Raja-Raja.

"Insya-Allah, esok kita akan adakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mana keputusannya nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja atau kepada pihak berkuasa negeri untuk diputuskan mengikut apa yang terbaik," katanya.

Beliau memberikan maklum balas ringkas itu ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia akan mengambil langkah serupa seperti Singapura yang akan melakukan dua sesi solat Jumaat di negara itu bermula Jumaat ini.

Majlis Ulama Islam Singapura (MUIS) Ahad lalu dilaporkan mengumumkan pelaksanaan semula solat Jumaat secara berjemaah di 66 masjid di seluruh Singapura bermula Jumaat ini.

Mengehadkan kepada hanya 50 jemaah pada satu-satu masa, MUIS bagaimanapun turut mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat secara dua sesi bagi setiap masjid bagi membolehkan lebih ramai umat Islam mendirikan solat Jumaat.

Difahamkan, pelaksanaan solat Jumaat secara dua sesi sudah dilaksanakan di beberapa masjid di luar negara khususnya negara bukan Islam seperti United Kingdom susulan jumlah masjid yang terhad untuk menampung jumlah jemaah yang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 3:22 PM