AYOB Khan (tengah) mengadakan lawatan pada Ops Mabuk dilaksanakan JSPT Johor di Jalan Tebrau. FOTO  Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan (tengah) mengadakan lawatan pada Ops Mabuk dilaksanakan JSPT Johor di Jalan Tebrau. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


POLIS Johor bimbang dengan peningkatan kes pemandu mabuk yang sangat ketara sepanjang tempoh enam bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, walaupun sehingga kini tiada insiden membabitkan kemalangan maut namun polis sentiasa melaksanakan operasi bagi mengesan pemandu mabuk.

Beliau berkata, sebagai perbandingan pada Januari hingga Jun 2019, seramai 45 pemandu mabuk ditahan dan jumlah itu meningkat kepada 222 kes bagi tempoh sama tahun ini.

"Ada peningkatan 177 kes dan itu adalah peningkatan yang tinggi walaupun tidak membabitkan kematian. Kalau lihat tempoh yang dinyatakan itu, ada peningkatan ketara. Memang membimbangkan.

"Kalau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak buat operasi, kita tidak dapat kesan mereka. Saya yakin apabila pub dibenarkan buka, lebih banyak kes pemandu mabuk. Itu yang saya katakan kita teruskan operasi untuk memastikan ia dapat diatasi.

"Setakat ini kita tidak mengesan pub pintu belakang, mungkin ada tapi kita tidak kesan. Saya yakin kes pemandu mabuk ini, mereka minum di rumah kawan atau di restoran yang menyediakan minuman itu. Sekiranya ada kita akan ambil tindakan," katanya selepas mengadakan lawatan Ops Mabuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di Jalan Tebrau Johor Bahru Selatan, malam tadi.

Ayob Khan berkata, sejak 1 Mei hingga 11 Jun lalu, polis menahan 58 pemandu mabuk dan 47 mat rempit menerusi 34 operasi dijalankan.

Mengenai operasi malam tadi, beliau berkata, seramai 123 pegawai dan anggota polis menjalankan Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan di beberapa daerah.

"Sebanyak 39 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan merangkumi lesen, insurans, ekzos dan ubahsuai, selain tujuh tangkapan termasuk enam kes membabitkan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala satu kes mengikut Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita mahu memastikan operasi sentiasa dijalankan. Ini bukan operasi bermusim, kita tidak mahu apabila isu ini ditimbulkan oleh orang awam, (baru) kita buat operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 12:07 PM