(GAMBAR fail) Pekerja menunggang motosikal menuju ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.
(GAMBAR fail) Pekerja menunggang motosikal menuju ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.
Mohamed Farid Noh


RAKYAT Malaysia bekerja di Singapura berdepan masa depan tidak menentu apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerja berikutan terjejas akibat pandemik Covid-19, sejak bulan lalu.

Pembantu produksi kilang elektronik di Singapura yang mahu dikenali sebagai Middy Mohammad, 30, berkata, ramai rakyat Malaysia sudah diberhentikan kerja sejak bulan lalu menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Middy yang bercuti tanpa gaji selama sebulan dan berada di rumah keluarga di Johor Bahru berkata, dia dimaklumkan rakannya bahawa ramai yang sudah diberhentikan kerja menyebabkan dia turut dilanda kerisauan berhadapan nasib sama.

"Saya tidak ada jumlah bilangan yang tepat tetapi rakan memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang sudah diberhentikan sejak bulan lalu agak ramai sehingga mereka tersadai di republik berkenaan berikutan mahu mencari kerja lain.

"Namun, ramai yang terjejas menarik nafas lega apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pekerja Malaysia di Singapura tidak perlu lagi membayar separuh dari kos di pusat kuarantin di Johor Bahru sebaliknya menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

"Pasaran kerja di Singapura terjejas sehingga kilang elektronik tempat saya bekerja pun turut mengambil bekas pramugari dan pramugara republik itu bagi menggantikan rakyat Malaysia yang diberhentikan.

"Republik berkenaan difahamkan perlu mengutamakan rakyat mereka sekali gus menyebabkan nasib rakyat Malaysia yang bekerja di sana semakin tidak menentu, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dilaporkan berkata, seramai 174,834 rakyat Malaysia sudah kembali dari Singapura, sehingga minggu lalu.

Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia mencari nafkah di Singapura dengan hampir 250,000 daripadanya berulang-alik setiap hari menerusi Tambak Johor selain laluan kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Sementara itu, P Shures, 39, yang sepatutnya mula bekerja dalam bidang logistik dan pergudangan di Singapura pada Mac lalu, terpaksa melupakan tawaran kerja berkenaan selepas sempadan negara ditutup sehingga kini.

"Pada mulanya majikan di Singapura menangguhkan kemasukan saya sehingga keadaan pulih namun saya perlu meneruskan kehidupan di sini dan kini sudah mendapat pekerjaan di Johor Bahru.

"Rakan yang bekerja di republik itu juga memaklumkan mereka sudah diminta sama ada bercuti tanpa gaji sejak bulan lalu atau lebih malang ramai juga diberikan notis berhenti kerja atas alasan syarikat terjejas akibat Covid-19 menyebabkan ramai yang hilang kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 11:42 AM