Najiy Jefri

SITUASI normal baharu akibat pandemik Covid-19 dan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baru untuk penggambaran filem dan drama memerlukan pihak yang terbabit tampil dengan idea kreatif.

Pengarah drama bersiri Mencari Kiblat Cinta yang memulakan penggambaran semalam, Jo Yusof berkata, situasi kerja terbaru ini memerlukan dia berfikiran lebih kreatif dalam menghasilkan sesuatu babak.

"Walaupun terdapat beberapa halangan ketika penggambaran, tapi sebagai pengarah saya perlu mencari idea lebih segar dan kreatif dalam keadaan sekarang ini.

"Banyak cara lain boleh dilakukan supaya sesuatu babak itu dijayakan dengan sempurna. Mujur juga drama ini kurang babak yang memerlukan pelakon berada dekat antara satu sama lain,"katanya kepada Harian Metro.

Penggambaran drama bersiri Mencari Kiblat Cinta yang berlangsung di Shah Alam dilihat mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Harian Metro di lokasi penggambaran yang berlangsung di sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam mendapati semua pelakon dan kru mengamalkan penjarakan sosial.

Setiap individu yang datang juga perlu mendaftar nama dan diambil suhu badan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat sebelum memulakan tugas.

Jo berkata, selepas dua hari menjalani penggambaran, semuanya berjalan dengan baik dan kru serta pelakon berdisiplin mematuhi SOP ketika di lokasi.

JO Yusof. FOTO Aziah Azmee
JO Yusof. FOTO Aziah Azmee

"Mereka mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman dan penutup hidung dan mulut," katanya.

Tinjauan juga mendapati setiap orang di lokasi terbabit diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa kecuali pelakon di depan kamera.

Kakitangan bahagian props turut melakukan proses sanitasi semua peralatan yang digunakan selain sentiasa menggunakan cacair pembasmi kuman.

Pelakon Syazuwan Hassan berkata, dia mempunyai kit kebersihan sendiri dan akan membawanya ke setiap lokasi penggambaran.

"Siapa yang tak takut dengan Covid-19 ini, namun dalam masa sama saya teruja untuk kembali bekerja selepas tiga bulan berehat di rumah.

"Kalau masih nak rasa takut sampai bila-bila pun tidak dapat teruskan penggambaran. Namun kita perlu ada kesedaran dan tanggungjawab untuk memastikan diri sentiasa selamat dan bersih. Saya memang ada kit kebersihan sendiri yang dibawa dari rumah. Dalam kit itu ada cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan segala yang disarankan kerajaan.

"Ketika di lokasi, saya akan menjaga penjarakan sosial dengan kru atau pelakon. Kalau dulu banyak perkara yang orang bantu tapi sekarang saya lebih selesa buat sendiri seperti memakai alat suara sehinggalah mendandan rambut," katanya.

KRU produksi memakai pelitup muka dan penjarakkan sosial ketika hari pertama penggambaran drama Mencari Kiblat Cinta selepas kerajaan membenarkan menyambung pengambaran mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO Aziah Azmee
KRU produksi memakai pelitup muka dan penjarakkan sosial ketika hari pertama penggambaran drama Mencari Kiblat Cinta selepas kerajaan membenarkan menyambung pengambaran mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO Aziah Azmee

Sementara itu jurusolek, Suzana Ismail  mengakui berdepan kesukaran pada peringkat awal kerana perlu memakai pelindung muka ( faceshield) , penutup hidung dan mulut serta sarung tangan.

"Mula-mula memang rasa susah sebab kerjaya saya ini memerlukan saya fokus dan rapat dengan pelakon. Tambahan pula saya perlu memakai pelindung muka  jadi susah nak solek kerana pemandangan saya terhalang.

"Namun saya teruja untuk melakukannya kerana pengalaman dan memori ini sesuatu yang tidak akan dapat nanti.

"Memasuki hari kedua penggambaran saya sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan cara hidup baru. Pengalaman lebih dua dekad dalam bidang ini memudahkan urusan kerja saya dan tiada masalah apabila perlu membuat solekan kesan khas," katanya.

SUZANA ketika menyolek artis pada sesi penggambaran drama Mencari Kiblat Cinta. FOTO Aziah Azmee
SUZANA ketika menyolek artis pada sesi penggambaran drama Mencari Kiblat Cinta. FOTO Aziah Azmee

Pengurus produksi, Nirzuwan berkata, setiap pagi dia akan memeriksa suhu setiap pelakon dan kru supaya mereka berada dalam keadaan sihat.

"Antara cabaran dhadapi adalah kesukaran untuk berurusan dengan lokasi penggambaran apabila ramai yang bimbang dan takut. Namun, saya akan menyakinkan pemilik lokasi bahawa kami mengikut segala prosedur yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, penerbit Darling Ngasri menjelaskan, SOP yang perlu dipatuhi secara tidak langsung menambah kos perbelanjaan untuk penggambaran drama itu.

"Tidak dinafikan apabila membabitkan penggambaran yang panjang terdapat kos tambahan,  lebih-lebih lagi apabila kini perlu membeli makanan bungkus kepada kru dan pelakon.

"Selain itu, saya juga sudah membeli alat nyah cemar untuk kegunaan kru dan disembur kepada badan seseorang. Saya tak kisah berbelanja lebih asalkan keselamatan kru dan pelakon saya terjamin.

"Saya juga pejamkan mata apabila meminta kru menggunakan kenderaan sendiri dan tuntut kos petrol. Sebelum ini kami menyediakan van tapi disebabkan tidak mahu terlalu ramai orang dalam satu van, saya minta mereka memandu sendiri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 6:59 PM