Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim


KERAJAAN mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKPP ini lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara berterusan.

"Mulai 10 Jun, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

"Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian," katanya ketika berucap dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.



Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut menasihati rakyat negara ini untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung sepanjang PKPP nanti.

"Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan.

"Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
    MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 3:12 PM