SYAFIQ (kanan)  bersama Muhammad Nafiz menunjukkan kesan luka ketika kejadian yang meragut nyawa nenek mereka.
SYAFIQ (kanan) bersama Muhammad Nafiz menunjukkan kesan luka ketika kejadian yang meragut nyawa nenek mereka.
Syaherah Mustafa


"SAYA cuba menarik nenek beberapa kali untuk keluar dari bilik sebaik melihat kepulan asap tebal serta api mula merebak, namun nenek seperti panik dan berpatah balik ke bilik."

Begitu kata Nur Batrisyia Abdul Rahman, 17, cucu kepada warga emas, Zainab Abdul Rahman, 76, yang ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Wakaf Bharu, di sini, jam 4.30 pagi semalam.

Nur Batrisyia berkata, sudah menjadi rutin harian untuk tidur bersama neneknya setiap kali ada di rumah kerana dia antara cucu paling rapat selain mereka suka berborak kosong sebelum terlelap.

Menurutnya, dia dikejutkan oleh ibunya, Masliza Yusuf, 48, yang menjerit memintanya bangun dan menyelamatkan diri kerana rumah terbakar.

"Saya terus mengejutkan nenek yang terkejut dan kebingungan. Dalam keadaan cemas, saya cuba membantu nenek dengan menolaknya dari belakang untuk keluar dari bilik.

"Pada awalnya kami berjaya keluar, namun nenek berpatah balik ke bilik tanpa berkata apa-apa.

"Saya cuba membawa nenek keluar sekali lagi, namun tidak berdaya kerana kepulan asap tebal selain tidak tahan dengan bahang api yang semakin besar," katanya.

 ZAINAB
ZAINAB

Ketika kejadian, seramai enam penghuni berada di rumah termasuk dua adik Nur Batrisyia iaitu Muhammad Nafiz Iman, 13, dan Nur Balqis, 14, serta sepupunya Syafiq Baharin, 23, di mana mereka mengalami kecederaan termasuk melecur di beberapa bahagian badan.

Masliza juga melecur teruk dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Kota Bharu.

Menurutnya, sebaik keluar melalui pintu dapur rumah, dia melihat ibunya masuk semula sambil menjerit memanggil nenek supaya keluar menyelamatkan diri, namun usaha itu tidak berjaya.

Katanya, dia bagaikan mahu pitam melihat rumah mereka musnah dijilat api dan lebih memilukan neneknya turut berada di dalam rumah terbabit.

"Tiada jeritan suara nenek kedengaran, yang ada hanya tangisan kami di luar rumah kerana pilu memikirkan nasib nenek dan tidak berdaya untuk membantu.

"Saya tidak mampu menyaksikan jenazah nenek yang rentung diangkat untuk dibawa ke hospital. Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi dan pasti merindui nenek yang sebelum ini sangat menyayangi cucu-cucunya," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:40 AM