Norzamira Che Noh


PELANGGAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sektor rumah kediaman diberi kemudahan membayar bil penggunaan elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara ansuran.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, ansuran itu akan diberikan kepada semua pengguna secara automatik bagi bil elektrik Mac, April dan Mei.

"Bayaran ansuran itu boleh dibuat sehingga Disember tahun ini dan kita menetapkan bahawa tiada caj tambahan akan dikenakan terhadap pengguna sepanjang tempoh ansuran ini.

"Pengguna tidak perlu mendaftar kerana ditawarkan secara automatik dan mereka boleh membuat pilihan sama ada mahu membayar secara ansuran ataupun secara penuh seperti biasa.

"Bagaimanapun, kita meminta pengguna menjelaskan bil semasa (Jun) seperti biasa," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid ke Kedai Tenaga Shah Alam, hari ini.

 PELANGGAN bertemu kakitangan TNB bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pelarasan bil elektrik di Kedai Tenaga Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
PELANGGAN bertemu kakitangan TNB bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pelarasan bil elektrik di Kedai Tenaga Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Megat Jalaluddin berkata, jumlah ansuran yang dikenakan akan tertera dalam kotak kuning pada bil elektrik yang akan diterima pengguna.

Katanya, ansuran itu ditawarkan pada akaun domestik berikutan mereka lebih terkesan akibat Covid-19 dan PKP berbanding sektor industri ataupun komersil.

"Sepanjang tempoh PKP, kebanyakan pengguna termasuk anak-anak berada di rumah justeru itu terdapat peningkatan dalam bil elektrik sepanjang tempoh ini," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 7.4 juta akaun domestik mendapat kemudahan ansuran berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 3:42 PM