GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


OPERATOR kilang warga Indonesia sanggup menelan pil untuk menggugurkan kandungannya di tandas asrama pekerja dekat Taman Belimbing, Bukit Mertajam, 24 Mei lalu.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, wanita berusia 20 tahun berkenaan melahirkan bayi perempuan cukup sifat berusia 18 minggu seberat 700 gram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, wanita itu mengadu mengalami sakit perut yang kuat sebelum melahirkan bayi terbabit.

"Pemeriksaan petugas perubatan ke atas bayi yang dilahirkan mendapati sudah tidak bernyawa kerana wanita itu melahirkannya dengan menggugurkan kandungan.

"Mayat bayi dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan oleh pihak hospital di tanah perkuburan berhampiran sebuah hotel," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Shafee berkata, wanita itu memaklumkan dia menelan pil yang diberikan teman lelakinya untuk menggugurkan kandungan.

"Pasangan itu tidak mahu menerima anak, lalu mengambil keputusan menggugurkannya.

"Wanita itu menelan pil sehari sebelum dia melahirkan bayi terbabit," katanya.

Shafee berkata, kejadian itu disedari rakan wanita terbabit dan menghubungi pihak hospital untuk tindakan lanjut.

"Polis kini dalam usaha mengesan teman lelaki wanita itu yang kini sudah melarikan diri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 2:06 PM