Redzuan Muharam


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020 yang kini sudah masuk tahun ke-13 mendapat kerjasama daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) untuk membantu segelintir masyarakat yang masih hidup dalam serba kekurangan supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih ceria.

Menerusi kerjasama itu, dana terkumpul berjumlah RM65,000 disumbangkan kepada 13 rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya di Semenanjung.

Empat daripada rumah kebajikan berkenaan ditaja oleh LPT2 di kawasan Pantai Timur manakala selebihnya PLUS.

Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS Syed Mohammad Idid Syed Ahmad Idid berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama buat kali kedua dengan Harian Metro menerusi TKHM.

"Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail sangat suka dengan cara TKHM dikendalikan dan teruja dengan cara pasukan TKHM menjejaki asnaf dan golongan kurang bernasib baik.

"Satu program yang amat menggembirakan apabila dapat membawa anak yatim membeli-belah dan memberi sumbangan kepada asnaf.

"Disebabkan itu, kita cari jalan supaya boleh berkolaborasi walaupun dalam suasana Covid-19 dan PLUS berhasrat meneruskan kerjasama ini pada tahun hadapan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek sumbangan di Balai Berita NSTP, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, TKHM 2020 tetap diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza berikutan pandemik Covid-19 melalui penyaluran sumbangan menerusi dalam talian.

SYED Mohammed Idid Syed Ahmad Idid. FOTO Hasriyasyah Sabudin
SYED Mohammed Idid Syed Ahmad Idid. FOTO Hasriyasyah Sabudin

"Kebiasaannya TKHM meriah dengan mengunjungi lokasi terpilih dan menjalankan aktiviti membawa anak yatim membeli-belah, majlis berbuka puasa, ziarah dan lain-lain lagi namun ada kekangan dihadapi kali ini dan kita perlu patuh pada arahan kerajaan serta pihak berkuasa kerana tidak dibenarkan bergerak bebas.

"Untuk merealisasikannya, kita perlu mengubah kaedah bantuan kerana perlu menyalurkan kepada pihak tertentu.

"Alhamdulillah, kita dapat kenal pasti 13 rumah kebajikan dan salurkan bantuan secara dalam talian.

"Apabila PLUS menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama, buktinya mereka nampak apa kita lakukan sangat berkesan," katanya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat Ahmad Tarmidi Nawawi Abdul Razak berkata, 13 pusat jagaan dan rumah kebajikan terpilih adalah yang menempatkan anak yatim serta warga emas dengan kapasiti ramai.

"Pusat jagaan dan rumah kebajikan terpilih adalah yang berdaftar dengan JKM dan terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kita kenal pasti dengan cadangan daripada pejabat JKM daerah dan negeri antaranya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Terengganu.

"Program ini amat baik kerana bantuan diberikan membantu penghuni daripada terputus bekalan makanan," katanya.

 SYED Mohammed Idid Syed Ahmad Idid (hadapan) bergambar pada Majlis penyerahan penajaan PLUS Malaysia Berhad untuk program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro 2020 di Balai Berita Bangsar. FOTO Hasriyasyah Sabudin
SYED Mohammed Idid Syed Ahmad Idid (hadapan) bergambar pada Majlis penyerahan penajaan PLUS Malaysia Berhad untuk program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro 2020 di Balai Berita Bangsar. FOTO Hasriyasyah Sabudin

TKHM dimulakan pada 2007 di Terengganu dan sejak itu ia menjadi acara tahunan Harian Metro (HM) setiap kali Ramadan.

Program TKHM dikendalikan kakitangan HM dengan kerjasama sukarelawan daripada Briged Sukarelawan NSTP-Media Prima.

Antara aktiviti yang diatur adalah melawat keluarga kurang bernasib baik, bergotong-royong, membawa anak yatim membeli baju raya di pasar raya, memberi sumbangan kepada ibu tunggal dan keluarga miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:10 PM