Ekhwan Haque Fazlul Haque


MESYUARAT khas akan diadakan esok bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baharu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengedarkan cadangan SOP berkenaan dalam mesyuarat hari ini.

Menurutnya, SOP baharu dicadangkan itu membabitkan PKP yang akan digunakan nanti di zon merah, kuning dan hijau.

“Perkara ini akan dibincangkan lebih terperinci esok malah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga akan memperincikan kawasan berkaitan ketiga-tiga zon berkenaan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keputusan melanjutkan tempoh PKP yang akan berakhir 14 April ini masih belum diputuskan kerajaan.

Katanya, keputusan sepenuhnya diberikan kepada KKM untuk menasihati kerajaan sekiranya PKP perlu dilanjutkan atau sebaliknya.

“Setiap PKP dan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dibuat atas nasihat KKM dan setakat ini belum ada perbincangan lanjut lagi diadakan.

“Apa (keputusan) yang seterusnya akan diserahkan kepada KKM dan selagi tiada pengumuman, kita kira ia masih diteruskan sehingga 14 April ini,” katanya.

PKP fasa kedua bermula 1 April lalu selama 14 hari dan keputusan perlanjutan akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira jumlah pesakit baharu Covid-19.

Beliau menekankan, jika tiada perlanjutan PKP tidak bermakna rakyat boleh bebas bergerak seperti sebelum arahan dikeluarkan.

Katanya, rakyat masih tertakluk dengan SOP baharu termasuk penjarakan sosial selain tiada perhimpunan berskala besar dibenarkan.

POLIS dan tentera berkawal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Aswadi Alias.
POLIS dan tentera berkawal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Aswadi Alias.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:32 PM