Raja Noraina Raja Rahim


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang berkuat kuasa semalam sehingga 14 April ini mengehadkan pergerakan orang ramai dalam lingkungan 10 kilometer dari kediaman masing-masing.

Perkara itu dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Peraturan itu menyatakan, seseorang hanya boleh bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan tempatan jangkitan atau ke kawasan tempatan jangkitan lain bagi tujuan tertentu termasuk membeli makanan, keperluan harian, penokok diet dan ubat serta melaksanakan tugas rasmi atau perkhidmatan penting.

Peraturan itu turut menyatakan, hanya seorang dibenarkan keluar tanpa disertai orang lain kecuali dengan alasan munasabah.

Bagi mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan, pergerakan boleh disertai orang lain tetapi masih dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat yang paling hampir dengan kediaman.

Bagi melaksanakan tugasan rasmi dan perkhidmatan penting, seseorang perlu mengemukakan surat kebenaran daripada majikan jika dikehendaki oleh pihak berkuasa.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Peraturan berkenaan turut menetapkan pengendali perniagaan makanan boleh menjalankan perniagaan secara pandu lalu, bawa pulang dan penghantaran sahaja.

Peraturan itu turut menjelaskan jika seseorang perlu bergerak di luar kawasan kediaman atas sebab tertentu perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pegawai polis di balai polis berhampiran.

Dalam tempoh PKP berkenaan juga, orang ramai tidak dibenarkan berhimpun sama ada bagi program keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

Bagaimanapun, ia dibolehkan bagi upacara pengebumian namun jumlah kehadiran adalah minimum.

Orang ramai yang tidak mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 3:00 PM