Norhayati Nordin


BAKAT pengacara jelita Uyaina Arshad, 28, sememangnya tak perlu disangkal lagi. Hampir lima tahun membina kerjaya seni, nama Uyaina kini di puncak populariti.

Tidak hanya aktif dalam pengacaraan, juara Puteri Muslimah Asia 2018 di Jakarta, Indonesia ini juga menjadi perhatian dalam bidang lakonan.

Baru-baru ini, Uyaina berjaya menampilkan lakonan berkesan dalam drama Jujurlah Nikahi Aku arahan Rashid Sibir yang disiarkan Astro Ria.

Malah, kemunculan Uyaina dalam program MeleTop bersama Nabil Ahmad sebagai pengacara jemputan juga berjaya menarik perhatian penonton.

Mengulas perkembangan positif kerjayanya dalam industri hiburan dalam dan di luar negara, Uyaina berkata, apa yang diperolehnya kini tidak mudah dicapai.

“Saya bertungkus-lumus dengan gigih bekerja selama beberapa tahun ini kerana minat dan mahu mengetengahkan bakat yang dianugerahkan Allah SWT.

“Terus-terang, saya sangat bersyukur kerana usaha berjaya membuahkan hasil. Apatah lagi, saya ikhlas menceburi kerjaya seni dengan restu keluarga.

“Saya berterima kasih kepada peminat termasuk pengikut di media sosial yang sangat menyokong dan menerima baik setiap hasil kerja dibuat,” katanya.

Bagi pemilik nama Saidatul Naseha Uyaina Arshad ini, dia juga seorang yang tidak mudah berasa selesa dan cepat berpuas hati dengan hasil kerja sendiri.

UYAINA belum terfikir soal jodoh.
UYAINA belum terfikir soal jodoh.

“Saya akan cuba membuat terbaik mengikut kemampuan diri untuk menghiburkan penonton. Untuk saya, tanggungjawab kerja tak boleh main-main.

“Keberkatan dalam rezeki itu penting. Malah, segala penat dirasakan hilang apabila melihat orang yang menonton tersenyum, ceria dan gembira,” katanya.

Mengakui jadual kerjanya padat, Uyaina memberitahu dia juga ada terima tawaran daripada pengarah Michael Ang untuk membintangi drama berjudul Perempuan Tanpa Dosa.

Berbicara soal peribadinya, Uyaina berkata kini fokusnya memberi sepenuh perhatian perkembangan kerjaya dan belum terfikir hal perkahwinan.

“Soal jodoh, biarlah Allah tentukan. Sekarang ini, saya nak fokus pada karier dan jalani kehidupan harian dengan ceria dan gembira bersama ibu.

“Kesibukan kerja membuatkan masa saya terhad bersama ibu. Jadi, sekarang keutamaan sudah tentu mahu membahagiakan ibu dahulu.

“Keluarga pun tidak bertanya atau mendesak saya. Justeru, di hati ini saya sentiasa yakin kalau ada jodoh pasti takkan ke mana,” katanya.

Uyaina yang sudah membintangi beberapa projek lakonan setakat ini, cukup dikenali dengan drama seperti Lelaki Kiriman Tuhan dan Curi Curi Cinta.

Tempoh PKP eratkan kasih sayang keluarga

Memandangkan sekarang seluruh negara masih perlu menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, Uyaina berkata masanya diluangkan bersama ibu.

“Saya melihat tempoh PKP yang dijalani sekarang sebagai ruang mengeratkan kasih sayang keluarga terutama dengan ibu yang paling disayangi.

“Selain memasak dan makan bersama, kami juga banyak bersembang dari hati ke hati antara anak dan ibu. Hilang semua rindu selama ini.

“Disebabkan saya dan ibu saja di rumah, kami ada kalanya akan main permainan untuk menguji minda. Alhamdulillah, seronok dan gembira,” katanya.

Uyaina berkata, dia juga bertindak sebagai ketua keluarga untuk keluar rumah membeli barangan keperluan di pasar raya membantu ibunya.

Memohon rakyat di negara ini bersabar dan banyak berdoa. Uyaina berkata, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di rumah dan cuba jangan cepat bosan.

“Saya tahu bagi orang yang terbiasa bekerja memang selalu keluar rumah dan apabila terlalu lama berkurung semestinya kebosanan itu tak boleh dielak.

“Dalam tempoh sekarang yang mana wabak semakin menular, ada baiknya duduk diam di rumah dan jangan ingkar dengan arahan kerajaan,” katanya.

Mengharapkan dugaan besar dan sukar ini berakhir segera, Uyaina berkata, kini apa yang paling utama banyakkan berdoa kepada Allah memohon bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:00 AM