APRENA Manrose. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
APRENA Manrose. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin

MEMULAKAN langkah kerjaya seni pada 2013, nama pelakon, Aprena Manrose, 27, kini semakin dikenali walaupun berstatus isteri orang.

Anak bongsu penyanyi dangdut, Iwan Syahman bersama bekas isteri yang juga pelakon, Allahyarhamah Rosnah Mohd Noor ini, seorang mesra apabila berbicara.

Ditanya impian mahu dicapai tahun ini, Aprena yang mesra disapa Baby tanpa berselindung berkata dia berharap dikurniakan cahaya mata.

Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Afiq Hazman pada 12 November 2016, Aprena memberitahu dia sudah sedia bergelar ibu.

“Untuk 2020 ini, saya memang berhasrat memiliki anak dan menjadi ibu seperti wanita lain yang sudah berkahwin serta ada keluarga sendiri.

“Saya teringin mempunyai sebuah keluarga yang lengkap. Cuma, sekarang saya dan suami masih berdua kerana belum ada rezeki anak,” katanya.

Mengakui tidak membuat perancangan keluarga sejak awal perkahwinan, Aprena berkata sekitar beberapa tahun lalu dia sangat sibuk dengan aktiviti lakonannya.

BERHARAP dikurniakan cahaya mata. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERHARAP dikurniakan cahaya mata. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Terus terang, saya seorang yang suka bekerja. Jadi, apabila mendapat tawaran berlakon dengan watak yang sesuai memang sukar ditolak.

“Apatah lagi, saya cepat rimas di rumah jika tidak bekerja lama. Paling lama yang saya rasa selesa bercuti pun hanya sekitar dua atau tiga hari.

“Namun, memandangkan tahun ini saya berhasrat memiliki anak maka jadual kerja diatur sebaik mungkin dan memastikan tidak terlalu sibuk,” katanya.

Pemilik nama sebenar Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman ini berkata sejak Januari lalu dia sudah mempraktikkan bercuti selama dua minggu.

“Saya kini mengambil pendekatan memperlahankan kesibukan kerja dan dalam sebulan hanya menerima sekurang-kurangnya dua tawaran berlakon.

“Bagaimanapun, saya berasa macam diuji kerana banyak pula tawaran yang datang. Namun, saya lebih memilih untuk berusaha memiliki zuriat,” katanya.

Hampir empat tahun mendirikan rumah tangga, Aprena berkata dia melihat sekarang masa sangat sesuai untuknya dan suami menambah ahli keluarga mereka.

Ditanya juga pandangannya mengenai populariti dan anugerah, Aprena berkata sebagai wanita sudah bersuami, dia tidak mengejar untuk menjadi terkenal dan menang trofi.

Katanya, dia sudah cukup rasa bersyukur dan bertuah jika bakat lakonannya mendapat perhatian pengarah dan pihak produksi kerana itu lebih utama.

Memaklumkan kerjaya lakonannya bermula sebagai pelakon tambahan, Aprena berkata dia mendaki membina nama dengan giat menerusi pengalaman ditimba.

Mahu tunai umrah dengan bapa

Selain impian memiliki anak, Aprena turut mengakui dia berkeinginan untuk menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci menunaikan umrah bersama bapanya.

Katanya, hasrat buat umrah sudah dipendam terlalu lama dan masih tidak menjadi kenyataan kerana sebelum ini sering mendapat halangan.

“Insyaa-Allah, jika tiada aral dan Allah makbulkan doa saya dapatlah menunaikan umrah bersama ayah April nanti dan kami akan berpuasa Ramadan di sana.

“Sebenarnya sudah lama saya teringin buat umrah tetapi hingga kini belum ada rezeki. Untuk tahun ini, saya mahu ke Tanah Suci dengan ayah.

“Saya mahu berubah menjadi lebih baik dalam hidup ini dan tunaikan umrah dengan ayah adalah impian saya kerana mahu dia merasa wang hasil kerja yang dikumpul.

MAHU tunai umrah bersama bapa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MAHU tunai umrah bersama bapa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Kini, saya hanya ada ayah untuk berbakti kepadanya berikutan ibu sudah meninggal dunia. Apatah lagi, hubungan dengan ayah sangat baik,” katanya.

Ditanya apakah dia sudah sedia mengubah penampilan dengan bertudung, Aprena berkata semuanya diserahkan kepada ketentuan Allah.

“Nikmat hidayah itu milik Allah. Macam yang diperoleh ayah yang dulunya aktif dalam kerjaya seni, tetapi sekarang cenderung berdakwah.

“Jujur dikatakan, saya sangat suka melihat cara kehidupan ayah sekarang. Ayah sangat tenang dan hubungannya bersama saya, abang serta kakak agak rapat,” katanya.

Menurut Aprena, dia dan adik-beradiknya juga sentiasa memberi sokongan kepada bapa mereka dengan menghadiri kuliah agama diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:00 AM