ANGGOTA bomba mengambil huruf S yang menakutkan sebuah keluarga. FOTO FB Pakdo Mat
ANGGOTA bomba mengambil huruf S yang menakutkan sebuah keluarga. FOTO FB Pakdo Mat
Nor Amalina Alias


MEREKA menerima panggilan telefon ancaman ular berbisa sebaliknya apabila tiba didapati ‘ular’ yang disangkakan itu hanyalah plastik berbentuk huruf S.

Itu situasi dialami anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh ketika melakukan tugas menyelamat di sebuah kediaman di Kampung Chica, Kubang Kerian, malam kelmarin.

Ketua BBP Pasir Tumboh, El Taraf Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga itu yang ketakutan apabila melihat seekor ‘ular’ melingkar pada langsir kediaman mereka.

Katanya, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba mereka terlihat kelibat ‘ular’ berkenaan.

“Anggota bomba perasaan itu bukan ular, sebaliknya plastik berbentuk huruf S yang berwarna hitam.

“Mereka bertanyakan di mana ular itu sebelum ditunjukkan ke arah huruf itu. Anggota kemudian ‘menangkap’ ular itu dan mereka ketawa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, keluarga berkenaan hanya mampu tergelak dan memohon maaf kepada anggota bomba kerana mereka terlalu panik lalu menelefon bomba bagi mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba menerangkan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Sejak bertugas di balai berkenaan, ia adalah kejadian pertama yang melucukan membabitkan panggilan menangkap ular,” katanya.

Sementara itu, dalam Facebook, kisah ‘ular’ dan bomba itu mendapat 5,500 tanda suka, 292 komen dan 8,400 perkongsian sejak dimuat naik pemilik akaun bernama ‘Pakdo Mat’.

Rata-rata warganet terhibur dengan kejadian dan menganggap itu asam garam dalam tugasan anggota bomba yang sedia bertugas dalam apa juga kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 4:39 PM