MANGSA bersama ahli keluarga di Balai Polis Kok Lanas. FOTO ihsan pembaca
MANGSA bersama ahli keluarga di Balai Polis Kok Lanas. FOTO ihsan pembaca
BERNAMA

PENJENAYAH yang melarikan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Chabang Tiga, Kampung Kemubu pagi tadi, sebelum ditinggalkan di pasar raya berdekatan Kok Lanas, Kota Bharu, memberitahu seorang peniaga di situ ibu mangsa akan datang nanti.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata kanak-kanak itu ditemui pada 10 pagi selepas suspek berumur 40-an meninggalkannya kepada seorang peniaga gerai yang kemudian bertindak menghubungi polis.

“Suspek tinggalkan mangsa dan memberitahu kepada peniaga itu bahawa ibu kanak-kanak terbabit akan mengambilnya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom ke Sekolah Peringkat negeri Kelantan di Dewan Datuk Ismail Mamat, Sekolah Menengah Kebangsaan Machang, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit yang memakai uniform sebuah tadika dilarikan seorang lelaki bersama Proton Exora yang dinaiki mangsa ketika ibu kanak-kanak itu memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk membeli sarapan.

Abdullah berkata, ketika wanita berusia 40-an itu ke warung berdekatan untuk membeli kuih, secara tiba-tiba seorang lelaki masuk ke tempat duduk pemandu dan terus melarikan kereta yang tidak dimatikan enjin bersama anaknya yang ditinggalkan di dalam kereta berkenaan.

“Suspek dikatakan memakai kopiah dan berbaju kuning melarikan kereta terbabit yang berwarna keemasan bernombor pendaftaran DCK 9460 dan pihak kami melancarkan gerakan mencari dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama daripada semua pihak penting bagi mencegah jenayah dan salah laku pelajar sekolah.

“Ia perlu dilakukan secara holistik bagi melahirkan pelajar yang cemerlang pada masa hadapan dan pihak kami sentiasa membuka pintu kepada semua untuk bekerjasama mengadakan program bagi melindungi pelajar daripada terbabit dengan kesalahan jenayah.

“Pelajar sekolah adalah pelapis negara yang perlu dilindungi dengan sebaik mungkin daripada unsur keburukan dan jenayah yang merosakkan diri sendiri, harta benda awam dan negara,” katanya.

Berita berkaitan

Kanak-kanak dilarikan perompak ditemui

Budak dilarikan perompak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:32 PM