TENGGILING dibunuh hanya kerana sisiknya yang mendapat permintaan tinggi sindiket di China.
TENGGILING dibunuh hanya kerana sisiknya yang mendapat permintaan tinggi sindiket di China.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

HANYA kerana sisiknya, haiwan ini diseksa hingga mati. Malah, sebanyak 206.4 tan sisik tenggiling dirampas dalam tempoh empat tahun sejak 2016.

Itu nasib dialami beratus ribu ekor tenggiling (Manis Javanica) yang terus diburu dan dibunuh saban tahun bagi memenuhi permintaan pasaran gelap Vietnam dan China.

Malah kenaikan mendadak harga sisik haiwan ini yang mencecah AS$3,000 sekilogram (RM12,420) berbanding AS$500 (RM2,070) menyebabkan mamalia dilindungi ini turut diseludup dari Afrika selain Asia Tenggara bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar (WJC) peningkatan mendadak kegiatan penyeludupan tenggiling menyebabkan haiwan ini di ambang kepupusan sekiranya jenayah rentas sempadan ini tidak ditangani secara berkesan.

Hari Tenggiling Sedunia yang disambut pada hari Sabtu ke-2 bulan Februari setiap tahun, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap hidupan liar unik ini.

Pengarah Risikan WJC, Sarah Stoner berkata, laporan diperoleh menggabungkan analisis data rampasan dilaporkan antara 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2019 terhadap trend jenayah penyeludupan rentas negara sisik tenggiling ini.

“WCJ menumpukan penyiasatan dan perisikan terhadap penyeludupan sisik tenggiling memandangkan haiwan ini paling terdedah kepada jenayah terancang berbanding haiwan lain,” katanya.

Menurutnya, sisik haiwan ini diburu sebagai komponen dalam perubatan tradisional China, meskipun tiada bukti saintifik menunjukkan bahawa sisik itu mempunyai sebarang nilai perubatan.

SEJUMLAH 206.4 tan sisik tenggiling diseludup berjaya dirampas antara tahun 2016 hingga 2019.
SEJUMLAH 206.4 tan sisik tenggiling diseludup berjaya dirampas antara tahun 2016 hingga 2019.

“Dianggarkan 206.4 tan sisik tenggiling diseludup berjaya dirampas antara tahun 2016 hingga 2019. Analisis data rampasan menunjukkan wujud peningkatan dari segi penyeludupan pada kadar belum pernah terjadi sebelum ini.

“Kami percaya bahawa angka keseluruhan ini hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan sisik tenggiling yang diseludup. Ini memandangkan terdapatnya kemungkinan bahawa sebilangan besar penyeludupan tidak dapat dikesan,” katanya.

Menurutnya, jenayah terancang hidupan liar bukan membabitkan spesies tertentu dan ia berkait dengan komoditi bernilai tinggi serta memberi keuntungan.

Pada Disember 2019, pihak berkuasa China merampas 10.65 tan sisik tenggiling yang diseludup dari Nigeria, Afrika melalui Korea Selatan ke China.

Terbaru Januari lalu, pihak Kastam Nigeria merampas sisik tenggiling yang diseludup merentas sempadan Nigeria dan Cameroon.

Sementara itu WJC mendedahkan Singapura adalah antara enam negara dikaitkan dengan 94% atau 193 tan daripada 206.4 tan sisik tenggiling yang diseludup selain Hong Kong, China, Vietnam, Nigeria dan Congo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 7:30 AM