Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas dipercayai nyanyuk ditahan selepas menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Sedenak menuju ke Kulai, Johor, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak lebuh raya jam 3.24 petang.

“Difahamkan motosikal itu melawan arus dengan berada di lorong paling kanan di laluan terbabit. Hasil rondaan dilakukan, lelaki warga emas berusia 73 tahun berkenaan yang dipercayai nyanyuk.

“Lelaki itu dibawa ke Balai Polis Bemban untuk tindakan lanjut. Kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jalan raya dan lain-lain kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

RAKAMAN video yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN video yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca

Azisman berkata, beliau mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya meletakkan syarat bagi pemandu berusia 65 tahun ke atas mendapatkan perakuan kesihatan daripada doktor bertauliah.

“Ia bagi memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mereka berada di tahap baik untuk memandu di jalan raya.

“Bagi kategori pemandu warga emas, pembaharuan lesen mereka perlu dilakukan setiap tahun tidak seperti pemandu muda lain iaitu dalam tempoh tiga atau lima tahun,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 31 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal melawan arus di lokasi berkenaan tular di media sosial sejak petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 11:09 PM