SHAHEIZY Sam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SHAHEIZY Sam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


KALI terakhir kelibat Shaheizy Sam berlakon di layar perak adalah menerusi filem Polis Evo 2, kemudian aktor hebat ini memilih untuk berehat dalam radar industri seni hampir setahun lapan bulan tanpa menerima sebarang tawaran berlakon filem.

Siapa sangka, selepas sekian lama menyepi, Sam kembali dengan semangat baru dan kini terbabit dengan penggambaran filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof.

Sam berkata, ketika membintangi Polis Evo 2, terlalu banyak cabaran dan dugaan yang perlu dihadapinya apabila proses penggambaran dan latihan dilakukan mengambil masa agak lama.

Malah, karya untuk Polis Evo 2 itu juga mengangkat elemen yang berat dan memerlukannya lebih memberi komitmen pada watak dibawa.

Bagaimanapun, menerusi filem Polis Evo 3, Sam mengakui lebih teruja apabila banyak elemen hiburan dan komersial dimuatkan dalam filem itu yang

mendorong dia bersetuju untuk kembali berlakon.

“Saya berhenti berlakon hampir setahun lapan bulan kerana proses yang saya jalani ketika Polis Evo 2 bukan sesuatu yang mudah untuk dibawakan. Namun ketika kembali yakin untuk aktif berlakon, saya gembira mendapat tawaran Polis Evo 3 yang genre kali ini lebih ke arah komedi, tetapi masih kekal dengan unsur aksi mendebarkan.

AMBIL masa fikir dan kembali berlakon dalam Polis Evo 3. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AMBIL masa fikir dan kembali berlakon dalam Polis Evo 3. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Saya juga sudah niat untuk tidak mahu terlalu penat ketika menjalani penggambaran Polis Evo 3. Saya bersyukur kali ini tidak banyak tekanan dihadapi sebaliknya banyak bahagian yang memaparkan unsur kekeluargaan, aksi serta hiburan yang masih kuat untuk tarikan penonton,” katanya.

Tambah Sam, dia tidak menafikan bahawa mengambil masa agak lama untuk menyatakan persetujuan mahu membintangi Polis Evo 3.

“Saya ambil masa juga untuk fikir dan kembali berlakon dalam Polis Evo 3. Ini kerana, proses yang terpaksa saya lalui untuk filem ini tidak mudah.

“Saya sudah tahu betapa penatnya penggambaran filem ini. Jadi saya memikirkan sudah tidak mampu untuk melaluinya sekali lagi.

“Meskipun Polis Evo 3 masih ada cabaran tersendiri, tapi sebaik kaki saya melangkah ke set penggambaran ini saya sudah pegang satu tanggungjawab iaitu kena lakukan sehabis baik,” katanya.

Menurut Sam, dia juga enggan terlalu memikirkan cabaran yang perlu dilalui pada hari esok, sebaliknya mahu menyiapkan setiap babak dengan lakonan mantap.

Alami kecederaan otot

Sebagai pelakon filem aksi semestinya pengalaman cedera di lokasi penggambaran sangat sinonim. Begitu juga buat Sam meskipun sudah beberapa karya aksi dibintanginya.

Ditanya mengenai kecederaan dialami ketika penggambaran Polis Evo 3, Sam berkata, dia tidak boleh lari daripada perkara itu namun bersyukur pihak produksi menyediakan ahli fisioterapi di set penggambaran.

Sam berkongsi pengalamannya dengan memberitahu dia ada mengalami kecederaan di bahagian otot, tetapi ahli fisioterapi pantas memberikan bantuan.

“Bila badan sudah makin keras, lama tak berlatih mesti ada kecederaan yang dialami.

“Saya pula sejenis yang suka redah, tak panaskan badan terlebih dahulu. Alhamdulillah, mujur ada ahli fisioterapi yang sentiasa bersedia di set penggambaran.

“Jadi apabila ada rasa sakit memang saya pergi jumpa mereka. Malah, selain saya semestinya pelakon lain juga terdedah dengan risiko kecederaan dan mujur mereka (ahli fisioterapi) ada,” katanya.

Selain Sam, filem terbitan Astro Shaw dan Skop Production itu turut dibintangi Zizan Razak, Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Fara Ali Khan dan Nora Danish.

Beralih mengenai perancangan kerjaya seninya tahun ini, Sam berkata, seperti tahun sebelumnya dia masih memilih tawaran yang bersesuaian dengan karakter.

“Tahun ini sama saja, saya akan memilih filem yang dirasakan sesuai. Namun, saya juga merancang untuk memberikan fokus terhadap masalah orang ramai yang sukar menurunkan berat badan terutama mendapatkan bentuk tubuh ideal.

“Masih ramai yang tiada kesedaran mengenai hal ini apabila mereka sering bertanya kepada saya di Instagram (IG) mengenai bagaimana cara saya menurunkan berat badan. Meskipun caranya mudah, tapi mereka perlukan tunjuk ajar dan bimbingan.

“Jadi, saya ingin mencipta satu komuniti dan berkongsi dengan mereka mengenai bagaimana cara sesuai untuk turunkan berat dan dapat bentuk badan menarik,” katanya.

Tambah Sam, dia terpanggil untuk melakukan perkongsian itu kerana mahu memberi satu perkongsian positif berbentuk semangat berusaha buat peminat.

“Sebelum ini, saya banyak berinteraksi dengan orang luar dari jauh. Jadi, ramai yang tidak faham dengan jelas cara saya menurunkan berat badan.

“Justeru, tahun ini saya bercadang mahu adakan pertemuan dengan golongan berkenaan dan kongsi petua terbaik untuk digunakan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 6:00 AM