FOTO IG Nur Sajat
FOTO IG Nur Sajat
Najiy Jefri


“Kenapa saya selalu dikatakan dilaknat dan syurga itu bukan milik saya? kalau begini kejadian saya dimuka bumi ini, kenapa Allah jadikan saya dan kenapa tidak orang lain? Tiada siapa yang hendak dilahirkan serba kekurangan,” kata usahawan kontroversi Nur Sajat yang mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah.

Sajat sebelum ini pernah beberapa kali menyatakan hasrat untuk menunaikan umrah namun impian itu tidak berjaya dicapai untuk beberapa tahun namun pada 2020 ini dia berpeluang menjadi 'tetamu Allah' bersama keluarganya.

Sajat berkata, dia sangat bersyukur ke hadrat Ilahi apabila rombongan ke Tanah Suci bersama ahli keluarganya berjalan lancar dan dipermudahkan .

“Alhamdulillah dengan berkat keizinan-Nya rombongan kami sekeluarga untuk umrah ini Madinah dan Makkah sudah hampir selesai.

“Saya sungguh terharu dan berasa diri ini sangat kerdil apabila akhirnya dapat juga menjejakkan kaki di sini dan betapa indahnya Islam itu. Malah, sesungguhnya Allah SWT tidak pernah membezakan umatnya dari segi darjat, umur, wajah, jantina, kedudukan, warna kulit atau perbezaan mazhab. Ternyata apabila kita di sini, semuanya sama dan menyembah Allah Yang Esa,” katanya di akaun Instagram miliknya.

Menurut Sajat, meskipun sering dihina oleh masyarakat Malaysia, dia bagaimanapun memilih untuk berdiam diri.

‎ ” Walaupun di tanah air, saya selalu dikutuk, dihina, dicaci malah berbagai lagi tohmahan diberikan, saya pilih untuk berdiam diri. Saya musafirkan diri ini dan menganggap apa yang berlaku itu memang sudah tertulis buat insan bernama Nur Sajat.

“Apabila saya sampai di Tanah Suci, saya berniat dalam hati nak berbicara dengan Tuhan saya mengenai soal kejadian diri ini, kenapa saya di lahirkan begini? Kenapa saya yang Allah pilih jadi macam ini dan kenapa saya yang banyak diberi ujian?,” tulisnya.

Menceritakan detik mengerjakan ibadah umrah itu, Sajat seolah-olah cuba mendedahkan identiti sebenarnya biar pun tidak dijelaskan secara terperinci tetapi dia mengakui dirinya antara wanita bertuah.

“Walaupun saya macam ini, saya tahu diri dan jiwa saya adalah perempuan. Saya bertuah kerana bukan semua orang terpanggil untuk mengerjakan umrah ini. Berlinang air mata saya dan patut rasa bersyukur. Saya juga sudah dapat jawapan sebaiknya di sini.

“ Sehina mana pun kita, sejahat mana pun kita, bukan manusia boleh yang menghukum sesama insan, tetapi hanya Allah sahaja yang tahu di mana kita berada nanti ketika meninggal dunia. Terima kasih mak dan ayah, kerana melahirkan Sajat,” katanya.

Difahamkan Sajat terbang mengerjakan umrah ke Tanah Suci bersama kedua ibu bapanya dan dua lagi anak angkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 12:15 PM