FAHMY (kiri) dan Mohd Hafiz bersama robot DIY. FOTO Nurul Shafina Jemenon
FAHMY (kiri) dan Mohd Hafiz bersama robot DIY. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

DUA sahabat menggunakan barangan terpakai seperti penyepit baju, tetikus, klip harga, pisau pencukur selain bekas minuman untuk menghasilkan robot mainan DIY (buatan sendiri).

Gabungan kreativiti dan pemilihan warna menjadikan robot mainan DIY dihasilkan Fahmy Hashim dan Mohd Hafiz Basri masing-masing berusia 37 tahun sungguh unik.

Menurut Fahmy, minat yang sama sejak kecil membawa mereka ke dunia pembuatan robot mainan DIY dua tahun lalu.

“Idea ini tercetus selepas melihat satu video dalam laman sosial menunjukkan seorang tentera di luar negara menghasilkan robot.

“Kami kemudian menghasilkan figura yang diinspirasikan daripada robot dalam filem berjudul ‘Chappie’,” katanya.

FAHMY (kanan) bersama Mohd Hafiz. FOTO Nurul Shafina Jemenon
FAHMY (kanan) bersama Mohd Hafiz. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Fahmy berkata, robot dihasilkan secara spontan berdasarkan imaginasi mereka selain bergantung kepada barangan terpakai yang ada ketika kerja itu dilakukan.

“Setakat ini, kami menghasilkan lebih 50 robot. Kami turut menjualnya kepada pembeli tempatan serta luar negara.

“Kami tidak menyangka mendapat banyak maklum balas positif apabila memuat naik kerja-kerja menghasilkan robot di laman sosial. Ramai juga bertanya cara menghasilkan robot berkenaan,” katanya.

PERALATAN digunakan untuk membuat robot. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PERALATAN digunakan untuk membuat robot. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Menurut Fahmy, dia mendapati ramai yang berminat untuk menghasilkan robot.

Ia mendorong mereka menganjurkan bengkel penghasilan robot DIY disertai 50 peserta pelbagai peringkat, Ogos lalu.

“Apa yang kami hasilkan (robot) selain penganjuran bengkel adalah untuk menggalakkan orang ramai beralih daripada sebagai pengumpul mainan kepada pencipta mainan.

“Bidang ini sangat baik kerana ia membentuk daya kreativiti dan inovatif seseorang,” katanya.

ANTARA robot DIY dihasilkan Fahmy dan Mohd Hafiz. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ANTARA robot DIY dihasilkan Fahmy dan Mohd Hafiz. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Jelasnya, kanak-kanak di Jepun diberikan pendedahan awal dengan aktiviti pencipta mainan dan kerana itu, kerja seni rakyat negara matahari terbit berkenaan sangat bagus.

Katanya, tema penghasilan robot mereka lebih kepada fiksyen sains kerana ia menggalakkan kemampuan berfikir di luar kotak.

“Apa yang menarik, di antara fiksyen sains dengan sains ialah, kami cuba mengadaptasikan perkara fantasi ke dunia realiti.

“Seperti dalam filem ‘Star Wars’, kita tidak pernah terfikir yang mana pada hari ini, tangan robotik digunakan dalam bidang perubatan,” katanya.

Selain itu, katanya, peminat robot boleh menjadikan hobi ini sebagai kerjaya dalam bidang animasi.

ANTARA robot DIY dihasilkan Fahmy dan Mohd Hafiz. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ANTARA robot DIY dihasilkan Fahmy dan Mohd Hafiz. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:45 AM