ASHRAF dan kakaknya, Amylia (kanan)  akhirnya bertemu semula dengan ibu kandung mereka, Ermawati selepas 17 tahun terpisah. FOTO Ihsan Ashraf Hazeli
ASHRAF dan kakaknya, Amylia (kanan) akhirnya bertemu semula dengan ibu kandung mereka, Ermawati selepas 17 tahun terpisah. FOTO Ihsan Ashraf Hazeli
Redzuan Muharam


SELEPAS 17 tahun terpisah, dua beradik, Ashraf, 21, dan Amylia Hazeli, 23, akhirnya bertemu semula dengan ibu kandung mereka, Ermawati Hasim,49, Rabu lalu.

Pertemuan tidak diduga itu berlaku di rumah ibunya di Ampang dan kisah berkenaan mendapat perhatian warganet selepas Ashraf memuat naik ciapan di Twitter miliknya, kelmarin.

Ciapan berkenaan turut menyentuh hati warganet yang gembira dengan penyatuan semula tiga beranak.

Menceritakan kisah di sebalik perpisahan itu, Ashraf berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya adalah ketika berusia empat tahun,

“Menurut ayah, mama (ibu) pergi kerana mempunyai konflik dengannya berikutan salah faham antara mereka.

“Sejak itu, saya dan kakak dijaga ayah dan ibu tiri. Saya dan kakak pernah berusaha mencari mama, kali terakhir sebelum kakak mendirikan rumah tangga, tiga tahun lalu.

“Namun, usaha itu tidak berjaya dan tidak sangka akhirnya... doa saya untuk bertemu semula dengan mama akhirnya termakbul.

“Ketika pertemuan tempoh hari, mama mengakui tidak pernah berputus asa mencari saya dan kakak tetapi hanya dapat menjejaki kami selepas ke bengkel sepupu ayah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ashraf berkata, kehidupannya tidak sama seperti rakan sebaya lain sepanjang ketiadaan ibunya.

Menurutnya, detik paling menyedihkan apabila tiba Aidilfitri kerana tidak dapat bersalaman dengan ibunya itu.

“Memang sedih kerana kehidupan saya sejak kecil tidak sama seperti rakan sebaya lain.

“Malah, saya cemburu melihat rakan menerima panggilan telefon daripada ibu mereka sedangkan saya tidak.

“Perasaan sedih itu bertambah menjelang Aidilfitri kerana kakak beraya bersama keluarga mentua, manakala saya sendiri dan sesekali ke rumah rakan untuk menghilangkan kesunyian.

“Kini, mama kembali dan saya tergamam ketika bertemu dengannya (mama) tempoh hari.

“Saya juga tersentuh apabila dia masih mengingati tarikh ulang tahun kelahiran saya,” katanya yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor,

Berhubung kisahnya yang tular, Ashraf berkata, dia tidak sangka ciapannya itu mendapat perhatian pengikutnya dan warganet di Twitter.

“Perkongsian kisah di Twitter itu sekadar untuk meluahkan rasa gembira dan teruja saya selepas bertemu semula dengan mama tetapi banyak pula maklum balas diterima.

“Ada juga yang berkongsi nasib sama dan diharap, mereka tidak berputus asa mencari serta berdoa supaya dipertemukan semula dengan insan tersayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 9:45 PM