MAK Intan membantu merawat kucing yang matanya dibutakan individu tidak di kenali di Alor Setar. FOTO Halijah Idris
MAK Intan membantu merawat kucing yang matanya dibutakan individu tidak di kenali di Alor Setar. FOTO Halijah Idris
Redzuan Muharam


“KEADAAN kucing itu kini stabil. Luka pada matanya juga sudah kering, tapi tidak boleh makan sendiri, jadi saya perlu menyuap makanan dan minuman (susu) dengan picagari,” kata Halijah Idris, 71.

Halijah atau lebih mesra dengan gelaran Mak Intan memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perkembangan terkini kucing malang yang buta kedua-dua matanya selepas dicederakan individu tidak dikenali di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Kucing itu berada di bawah jagaan Mak Intan selepas dihantar pemuda, Faez Feilzha Roslee, 23, yang terserempak dengan haiwan berkenaan dalam keadaan mata berlumuran darah pada 14 Disember lalu.

Kisah itu kemudiannya mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial selepas Faez memuat naik video berkenaan di akaun Twitter miliknya.

Menurut Mak Intan, dia tidak menghantar kucing berkenaan ke klinik veterinar sebaliknya merawat sendiri dengan ubat yang ada di dalam simpanannya.

Katanya, rawatan itu dilakukan sendiri berbekalkan pengetahuan dan pengalamannya ketika berkhidmat selama tujuh tahun di unit perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebelum memulakan rawatan, saya menyuntik kucing berkenaan dengan ubat penenang terlebih dulu supaya tidak bertindak agresif dan membolehkan saya memeriksa luka yang ada di badannya.

“Pada waktu itulah, saya akan memberinya ubat dan setakat hari ini, lukanya sudah kering cuma matanya menjadi hitam serta buta sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kucing berkenaan tidak dapat makan sendiri disebabkan keadaan giginya yang sudah rosak jadi saya perlu menyuapkan ia dengan perlahan-lahan.

“Saya tidak menghantar kucing itu ke klinik veterinar kerana kecederaan dialami tidak memerlukan pembedahan besar seperti kes lain yang lebih serius, misalnya akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, Mak Intan berkata, sehingga kini, sebanyak 800 kucing dan anjing berada di bawah jagaannya dengan menjadikan premis di Jalan Bendahara, Alor Setar, Kedah sebagai pusat perlindungan dikenali Mak Intan Shelter.

Menurut Mak Intan, kesemua haiwan itu dipelihara selepas diselamatkan kerana terbiar di jalanan, berpenyakit dan cedera akibat kemalangan.

“Dulu, saya melakukan kerja menyelamat haiwan bersama arwah suami (Md Azmi Ismail) tetapi kini dibantu anak sejak dia (suami) meninggal dunia akibat strok, empat tahun lalu.

“Saya terbabit dalam kegiatan ini sejak 13 tahun lalu dan keutamaan saya adalah membantu kucing atau anjing yang sakit dan terbiar di jalanan.

“Disebabkan itu, saya tidak kisah jika ada individu yang menghantar ke sini walaupun pada tengah malam kerana mahu sedaya upaya merawat haiwan berkenaan sebelum merujuk ke klinik veterinar seandainya keadaan terlalu serius,” katanya,

Semalam, portal berita Harian Metro menyiarkan kisah kucing malang itu dan rata-rata warganet marah dengan kekejaman dilakukan terhadap haiwan berkenaan.

Berita berkaitan

Tergamak korek mata kucing

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 8:50 PM