Anak kucing milik Nuratirah yang didakwa tidak sihat selepas ditinggalkan di sebuah pusat jangaan di Dengkil, Selangor. Foto Ihsan Nuratirah Shazwani Russli.
Anak kucing milik Nuratirah yang didakwa tidak sihat selepas ditinggalkan di sebuah pusat jangaan di Dengkil, Selangor. Foto Ihsan Nuratirah Shazwani Russli.
Redzuan Muharam

“SAYA sedih dan hilang kata-kata selepas melihat kucing peliharaan dalam keadaan begitu,” kata Nuratirah Shazwani Russli, 22.

Nuratirah mengulas mengenai ciapannya di Twitter beberapa hari lalu mengenai nasib empat daripada lima ekor kucing peliharaannya yang sakit dan berada dalam keadaan tidak terurus selepas lima hari diletakkan di bawah jagaan sebuah pusat jagaan di Dengkil, Selangor.

Ciapan itu mendapat perhatian warganet yang simpati dengan nasib Nuratirah selain marah terhadap perkhidmatan diberikan pusat jagaan terbabit.

Menceritakan perkara sebenar, Nuratirah berkata, dia menghantar lima ekor kucing peliharaannya ke pusat jagaan berkenaan pada 6 Disember lalu kerana mengikut keluarganya bercuti di Pulau Pinang.

Menurut Nuratirah, dia meletakkan ibu kucing dan empat ekor anaknya di situ dengan harapan ada individu yang memberi makan serta menjaga kesemuanya (kucing) dengan baik sepanjang ketiadaannya itu.

“Mulanya, saya bercadang meletakkan kucing peliharaan di pusat jagaan terbabit selama empat hari saja tetapi terpaksa melanjutkan sehari lagi kerana keluarga menunda tarikh pulang ke ibu kota.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemilik pusat jagaan berkenaan dan sepanjang berada di Pulau Pinang, saya hanya dimaklumkan yang kucing mengalami selsema tetapi sudah diberi antibiotik serta makan seperti biasa.

“Namun, saya terkejut selepas melihat keempat-empat ekor anak kucing dalam keadaan comot, kurus dan nampak tidak bermaya ketika mengambilnya di pusat jagaan berkenaan.

“Seekor daripadanya juga mengalami sakit mata sedangkan kesemuanya dalam keadaan sihat dan sudah divaksin sebelum dihantar ke pusat jagaan itu,” katanya ketika dihubungi.

Empat anak kucing milik Nuratirah yang kelihatan comel ketika di bawah jagaannya. Foto Ihsan Nuratirah Shazwani Russli
Empat anak kucing milik Nuratirah yang kelihatan comel ketika di bawah jagaannya. Foto Ihsan Nuratirah Shazwani Russli

Menurut Nuratirah, dia ada bertanya kepada pemilik pusat jagaan berkenaan untuk mendapatkan kepastian berkaitan punca sebenar kucing berada dalam keadaan seperti itu tetapi tidak mendapat jawapan yang meyakinkan.

Lebih menyedihkannya apabila salah seekor kucing peliharaannya mati pada kelmarin manakala yang lain masih belum sihat sekali gus menyebabkan Nuratirah khuatir sekiranya keadaan jadi bertambah buruk.

“Sejak dibawa pulang ke rumah, kucing saya kelihatan takut dan tiada selera makan walaupun selepas ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Tak sangka jadi begini dan berasa bersalah dalam diri kerana meninggalkan kucing di pusat jagaan berkenaan tempoh hari,” katanya.

Nuratirah berkata, dia tiada niat untuk memburukkan nama pusat jagaan terbabit tetapi berkongsi pengalaman di Twitter bagi memberi kesedaran kepada pemilik kucing lain supaya berhati-hati jika enggan menerima nasib sama sepertinya.

“Ini kali pertama saya menghantar kucing peliharaan ke pusat jagaan dan tak sangka pula akhirnya jadi begini.

“Saya jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati dan berharap pusat jagaan di luar sana supaya bertanggungjawab dengan menjaga sebaiknya kucing atau apa juga haiwan peliharaan ditinggalkan kerana ia adalah amanah pelanggan untuk anda,” katanya.

Sementara itu, pemilik pusat jagaan kucing yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul ketika dihubungi enggan memanjangkan lagi isu berkenaan.

“Selepas ini, saya nekad untuk berurusan dengan pelanggan tetap saja bagi perkhidmatan jagaan kucing dan yakin ada hikmah dengan apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 9:00 PM