MAYAT mangsa ditemui dibalut selimut di bilik sebuah unit kondominium di Butterworth.
MAYAT mangsa ditemui dibalut selimut di bilik sebuah unit kondominium di Butterworth.
Shamsul Munir Safini


MAYAT wanita Myanmar ditemui dengan pisau masih tercucuk di leher dipercayai ditikam suaminya kerana cemburu.

Dalam kejadian disedari jam 10.30 malam ini, polis menemui mayat mangsa dalam bilik tidur di sebuah unit kondominium di Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang dikenali sebagai Yoon Hati Htike, 29, dan bekerja sebagai pembantu klinik dikesan hilang selepas tiga hari tidak datang ke tempat kerjanya sebelum majikannya membuat laporan polis petang tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat majikan mangsa, pekerjanya itu pernah memberitahu bahawa dia mengalami masalah rumah tangga dan suaminya pernah mengugut untuk membunuhnya.

“Dia (majikan) juga menasihati mangsa agar memaklumkan kepada polis berhubung ugutan itu namun tiada laporan dibuatnya.

“Selepas menerima laporan daripada majikan mangsa, polis datang memeriksa kediaman mangsa di tingkat 19 sebuah kondominium di Butterworth sebelum menemui mayat wanita berkenaan dibalut dengan kain selimut berlumuran darah di sebelah katil” katanya.

Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan juga polis menemui sebilah pisau yang masih tercucuk di leher mangsa.

“Mangsa dipercayai sudah tiga hari meninggal dunia berdasarkan keadaan mayatnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa sudah empat bulan menyewa di premis berkenaan dan tinggal di situ bersama suaminya.

Katanya, polis kini dalam usaha mengesan suami mangsa dikenali sebagai Mohammad Noor Lal Miah, 29, bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 11:58 PM